65 ‘cef junior’ terima sijil

65 ‘cef junior’ terima sijil

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 16 Ogos – Seramai 65 kanak-kanak telah menerima sijil penghargaan setelah mengikuti aktiviti mempelajari cara-cara membuat dan menyediakan tiga jenis makanan dalam acara My Junior Chef pada hari terakhirnya, hari ini, yang berlangsung di atrium Pusat Membeli-Belah KBSentral.

Dalam acara empat hari, yang bermula Khamis lalu itu, menyaksikan kanak-kanak membuat kuih-muih, roti pastri, pasta dan susyi di bawah penyeliaan kakitangan dari Kedai Delifrance, Auntie Anne’s, Pastamania dan Sushi Tei.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Pengurus Jenama (Brand Manager) KBSentral, Awang Allan Cabangon menjelaskan objektif aktiviti seumpama ini adalah untuk meluangkan masa kanak-kanak dalam aktiviti berfaedah di hujung minggu.

“Kami mengambil kesempatan semasa cuti Hari Keputeraan dan hujung minggu yang panjang ini bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyertakan anak-anak mereka dalam aktiviti riadah dalam masa yang sama membantu mempromosi KBSentral sebagai tempat utama untuk orang ramai membeli-belah di sini,” jelasnya. Beliau menambah, daripada pengalaman ini kanak-kanak akan mendapat ilham dan pengetahuan dalam pembuatan pelbagai jenis makanan yang disediakan oleh kedai-kedai di bawah KBSentral yang terlibat dalam aktiviti minggu My Junior Chef ini.

Dua orang peserta yang menyertai acara membuat susyi menikmati sajian yang dibuat oleh mereka.
Dua orang peserta yang menyertai acara membuat susyi menikmati sajian yang dibuat oleh mereka.

“Kami tidak menyangka akan mendapat sambutan yang hangat daripada para ibu bapa dan berharap kegiatan seperti ini akan dapat menarik minat mereka dan orang ramai yang lain untuk menyertai aktiviti-aktiviti kami yang akan datang,” tambah beliau lagi.

Menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang akan diadakan oleh KBSentral, beliau memberitahu bahawa KBSentral akan mengadakan Jerayawara Hartanah pada 20 hingga 23 Ogos ini, yang akan disertai lapan buah syarikat termasuk Caramella, J-FA Sdn Bhd, Kozin Real Estate Agency, Catalyst Sdn Bhd (Inspire Living), BSTC Real Estate Agency, Rentokil, BIBD dan Bess Perfect Property Agency.

Sementara itu, pada 30 Ogos ini akan diadakan cabutan bertuah pertama yang akan dikendalikan oleh pengurusan KBSentral di atrium pusat membeli-belah tersebut, yang telah bermula sejak beberapa bulan yang lepas.