65 pelajar terima penghargaan

65 pelajar terima penghargaan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 7 April – Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB), Tutong, pagi tadi telah meraikan para pelajar cemerlang sekolah berkenaan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Akademik bagi Pelajar-Pelajar Cemerlang dan Penghargaan BC GCE ‘O’ Level/ IGCSE 2015, yang diadakan di Dewan Seri Kenangan, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional) di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Haji Bujang.

Pada majlis itu, seramai 65 orang pelajar menerima hadiah akademik, dengan 27 orang menerima hadiah cemerlang yang memperolehi ‘full set’ bagi mata pelajaran yang diduduki, enam orang memperoleh 8 ‘O’ level, 15 mendapat 7 ‘O’level, sembilan pelajar mendapat 6 ‘O’ level, dan lapan lagi pelajar mendapat 5 ‘O’ level.

Dayang Marina Chek menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang.
Dayang Marina Chek menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang.
Antara pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sufri Bolkiah yang hadir pada majlis tersebut.
Antara pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sufri Bolkiah yang hadir pada majlis tersebut.

Pengetua SMSB, Dayangku Norahizan binti Pengiran Haji Bungsu semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, sekolah berkenaan telah menunjukkan pencapaian prestasi yang baik dan meningkat sebanyak 5.8 peratus iaitu 48.04 peratus pada 2014 kepada 53.28 peratus pada tahun lepas.

Majlis antara lain bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam GCE Peringkat ‘O’ pada tahun 2015 serta memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

Selain itu, dengan adanya majlis ini, ia akan dapat menyuntik semangat dan azam kepada pelajar-pelajar lain untuk berjuang bagi kejayaan diri, keluarga dan sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA