65 terima surat pelantikan, pertukaran bertugas

65 terima surat pelantikan, pertukaran bertugas

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Seramai 65 orang pemimpin sekolah peringkat rendah, menengah dan maktab telah menerima surat pelantikan dan pertukaran tempat bertugas dalam majlis yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian surat-surat pelantikan dan pertukaran pemimpin-pemimpin sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, para pengarah, serta pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menyeru semua pemimpin sekolah dan warga pendidikan untuk bertindak lebih proaktif dan bijaksana terhadap beberapa perkara termasuk fokus kepada pimpinan instruksional dengan sentiasa mengambil berat dan tahu hal ehwal bilik darjah melalui amalan “selalu bermuzakarah” bersama warga sekolah.

Selain itu, mereka juga perlu memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dengan cara berkongsi maklumat serta membetulkan apa pun wahaman masyarakat mengenai hal ehwal pendidikan.

pg05_151124_b

Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan surat pelantikan dan pertukaran tempat bertugas kepada pemimpin sekolah pada majlis yang berlangsung di PTES, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan surat pelantikan dan pertukaran tempat bertugas kepada pemimpin sekolah pada majlis yang berlangsung di PTES, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin menambah, para pemimpin sekolah juga perlu sentiasa mencari dan menggali amalan-amalan terbaik bagi meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui amalan kongsi sama dalam atau luar sekolah di samping menggalakkan dan mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat serta budaya cintakan ilmu melalui perkembangan profesional yang berterusan.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar semasa menyampaikan ucapan selaku pengerusi majlis menjelaskan, tujuan utama majlis itu adalah bagi memartabatkan kepimpinan sekolah melalui Majlis Pelantikan dan Pertukaran Pemimpin Sekolah secara rasmi serta menyuntik semangat para pemimpin sekolah bagi meningkatkan tahap kecemerlangan kepimpinan sekolah kepada yang lebih tinggi

Selain itu, ia juga memberi ruang untuk penambahbaikan sekolah dengan mempertingkatkan kecemerlangan kepimpinan yang dinilai melalui keberkesanan sekolah menurut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memberi lebih arah tuju kepada pencapaian institusi pendidikan yang lebih strategik dan terarah.

Selepas majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan rombongan seterusnya mengadakan lawatan ke beberapa bahagian PTES dan beramah mesra bersama para pemimpin sekolah yang hadir di majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA