650,000 kakitangan, pelajar varsiti nikmati waran AirAsia

650,000 kakitangan, pelajar varsiti nikmati waran AirAsia

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) – Sebanyak 650,000 kakitangan dan pelajar di 20 buah Universiti Awam (UA) kini berpeluang menikmati pelbagai kemudahan serta keistimewaan yang ditawarkan menerusi penggunaan Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA) AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata antara kemudahan dan keistimewaan yang bakal dinikmati ialah penjimatan harga tambang serta kadar percuma untuk kemudahan lain.

Kemudahan percuma dengan penggunaan WPUA AirAsia termasuk pemilihan tempat duduk, sajian di dalam pesawat dan 40 kilogram bagasi pertama.

“Kemudahan waran ini boleh digunakan untuk penerbangan ke-90 destinasi dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Antara AirAsia Berhad Dengan Universiti-Universiti Awam Malaysia di sini hari ini.

WPUA AirAsia diperkenal sejak 2008 untuk pegawai-pegawai jabatan kerajaan dan hanya sah bagi perjalanan atas urusan rasmi sahaja.

Pada majlis itu, sebanyak 20 naib canselor dari semua UA seluruh negara menandatangani memorandum dengan AirAsia bagi penggunaan WPUA, yang disaksikan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Sementara itu Zaini dalam ucapannya berkata kerjasama yang terjalin itu selaras dengan seruan kerajaan untuk semua agensi agar melaksanakan perbelanjaan berhemat.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat tempatan akan tampil bekerjasama dan memupuk hubungan baik dengan UA dalam usaha memperkaya landskap pendidikan negara.

ARTIKEL YANG SAMA