667 lagi terima pingat

667 lagi terima pingat

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Seramai 667 orang lagi pegawai dan kakitangan menerima Pingat Kehormatan Negara sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Turut  hadir ke istiadat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri pedalaman, para duta dan pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

pg01_160526_a pg03_160526_d

Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan Pingat Kehormatan Negara.
Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan Pingat Kehormatan Negara.
Antara penerima  Pingat Kehormatan Negara kelmarin.
Antara penerima Pingat Kehormatan Negara kelmarin.

Daripada jumlah penerima pingat berkenaan, seramai 43 orang dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan 624 orang dikurniakan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B). Para penerima terdiri daripada pegawai dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan serta swasta.

Mendahului menerima pingat kehormat P.J.K ialah Haji Kifli bin Haji Azahari diikuti oleh Awang Nawi bin Haji Omar, sementara itu mendahului menerima pingat P.I.K.B ialah Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Awang Sofry bin Othman dan Awang Salbin bin Haji Lawal.

Bagi memberkati majlis tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

ARTIKEL YANG SAMA