67 maut dipanah petir

67 maut dipanah petir

NEW DELHI, 22 Jun (AFP) – Kira-kira 67 orang maut akibat disambar petir di India sejak dua hari yang lalu, kata para pegawai pengurusan bencana hari ini, ketika hujan monsun tahunan melanda negara itu.

Serangan kilat sering terjadi di India semasa monsun Jun-Oktober, yang melanda pantai selatan awal bulan ini, namun jumlah korban minggu ini sangat tinggi.

Ribut semalaman yang berlaku di negeri timur Bihar telah membunuh sekitar 47 orang dan mencederakan 22 yang lain, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kami telah mengesahkan bahawa sekitar 47 kematian dan bimbang jumlah itu akan meningkat ketika banyak lapo-ran telah diterima dari daerah-daerah lain,” kata pegawai kanan dari agensi pengurusan bencana Bihar, Anirudh Kumar kepada AFP.

Pengguna jalan raya meredah hujan di Amritsar semalam. Kira-kira 67 orang maut akibat dipanah petir di India sejak dua hari lalu. – AFP
Pengguna jalan raya meredah hujan di Amritsar semalam. Kira-kira 67 orang maut akibat dipanah petir di India sejak dua hari lalu. – AFP

Pihak berkuasa di negara jiran Uttar Pradesh berkata 20 orang terbunuh sejak dua hari lalu.

Petir membunuh ribuan penduduk India setiap tahun, kebanyakannya para petani yang bekerja di ladang.

Lebih 2,500 orang maut disambar petir di India pada 2014 menurut Biro Catatan Jenayah Kebangsaan, jumlah terkini yang diperolehi.