678 lagi terima Pingat Kehormatan

678 lagi terima Pingat Kehormatan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Seramai 678 orang telah menerima Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat kehormatan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan dan Pehin-pehin Manteri.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan Pingat Kehormatan Negara di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan Pingat Kehormatan Negara di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Daripada 678 orang yang menerima kurnia pingat tersebut, seramai 68 orang dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) iaitu 49 orang lelaki dan 19 orang perempuan.

Manakala itu, 610 orang termasuk 316 lelaki dan 294 perempuan, menerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B).

Mereka terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Perhubungan, serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

ARTIKEL YANG SAMA