68 pelajar UTB hadiri taklimat

68 pelajar UTB hadiri taklimat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Seramai 68 orang pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) akan berlepas ke Sydney, Australia tidak lama lagi bagi melanjutkan pengajian mereka di University of New South Wales (UNSW).

Daripada jumlah pelajar berkenaan, seramai 56 orang daripadanya merupakan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan, sembilan penerima biasiswa Brunei Shell Petroleum dan tiga lagi melalui pembiayaan sendiri.

Sehubungan itu, sebelum berlepas meninggalkan negara, para pelajar berkenaan telah menghadiri Taklimat Sebelum Berlepas yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel & Country Club, hari ini, yang antara lain bertujuan untuk membantu para pelajar UTB untuk membuat persiapan perjalanan ke Sydney dan memastikan peralihan yang lancar.

Antara lain isi kandungan taklimat adalah mengenai persiapan yang perlu dilakukan oleh pelajar sebelum berangkat, pemahaman mendalam mengenai kawasan dan tempat mereka meneruskan program pengajian mereka nanti.

Antara pelajar yang menghadiri taklimat itu.
Antara pelajar yang menghadiri taklimat itu.

p10-5_20160713

Turut hadir semasa taklimat itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Todd Mercer.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hubungan rapat di antara UNSW dan Brunei diikat menerusi persetujuan artikulasi dengan UTB, terutamanya dengan Fakulti Kejuruteraan UTB yang telah menyaksikan ramai pelajar Brunei pergi ke UNSW, Australia, bagi menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Petroleum selama dua tahun, selepas dua tahun belajar di UTB.

Pelajar-pelajar berkenaan menambah nilai kepada universiti, yang berbangga dengan memiliki pelajar dari 130 buah negara yang berbeza dan pelajar Brunei termasuk dalam gabungan atau kepelbagaian budaya tersebut. Kebanyakan graduan-graduan berkenaan telah mempunyai kerjaya yang berjaya di Brunei sebaik sahaja menamatkan pengajian mereka dan berbangga untuk berkhidmat kepada Negara.

ARTIKEL YANG SAMA