$68,000 untuk YASKA dan SOBD

$68,000 untuk YASKA dan SOBD

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Sebanyak $68,000 telah diterima daripada orang ramai dalam bentuk hasil sumbangan kewangan menerusi acara amal She Runs, hari ini diserahkan kepada yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) dan Persatuan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) pada Majlis Hari Penghargaan She Runs, yang berlangsung di Fitness Zone, Kiulap di sini.

Pada majlis itu juga, pihak penganjur turut memberi penghormatan kepada penaja, penyokong, rakan kongsi, sukarelawan dan individu yang menjayakan acara pada 15 Mei lalu dengan penyertaan hampir 2,000 peserta.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Pengurusan Fitness Zone, Wu Chun; Ketua Pegawai Eksekutif QAF Group, Albert Lau; Pengurus Besar Brunei Press, Reggie See dan juga wakil-wakil dari She Runs 2016 yang lain.

Turut hadir bagi menerima cek adalah wakil bagi YASKA, Tsaranawarrah Abdullah Chen dan juga Presiden SOBD, Haji Mahrub bin Haji Murni, masing-masing telah menerima sejumlah $34,000. Bekas pesakit kanser, Tzyy Wei berkata, sokongan Fitness Zone kepada YASKA sangat disanjung.

Wu Chun bergambar ramai bersama para penaja dan penerima sumbangan.
Wu Chun bergambar ramai bersama para penaja dan penerima sumbangan.

Sementara itu, Pengerusi SOBD, Lt. Kol. (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut berkata, SOBD amat berterima kasih kerana dipilih sebagai salah satu penerima bagi acara larian amal pada tahun ini serta berharap acara She Runs pada masa depan akan terus mendapat banyak penyokong.

Wu Chun dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan mereka dalam menjayakan acara She Runs 2016. Antara yang terlibat menyokong acara itu ialah BMW, Sunlit, Cineplex The Mall, ARMTRIX, Brunei Press, Penerbangan Diraja Brunei, KFM, Magic Media, Under Armour, The Body Shop, Purity, Revive, Redbull, Quaker Oats, Bake Culture, WoMen Salon, The Energy Kitchen, TANITA, Zen Spa, Heartland, Girl Guide dan SOBD.

 

ARTIKEL YANG SAMA