683,171 hektar tanah NCR sudah diukur

683,171 hektar tanah NCR sudah diukur

KUCHING, 8 Dis – Kira-kira 683,171 hektar tanah hak adat bumiputera (NCR land) telah diukur di bawah Program Pengukuran Perimeter NCR Inisiatif Baru setakat 30 November lalu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais (gambar bawah) berkata, menerusi program yang sama bagi tanah yang diwarta sebagai Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, 3,977 lot individu siap diukur yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 4,598 hektar.

Beliau berkata secara keseluruhannya RM92.3 juta dibelanjakan bagi tujuan pelaksanaan program pengukuran NCR inisiatif baru ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Joseph Mauh ak Ikeh (BN-Tamin) mengenai status terkini kerja-kerja pengukuran tanah NCR di Sarawak, di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

p11-1_20151209

Sementara itu Menteri Muda Kemudahan Awam Negeri Datuk Slyvester Entri ak Muran berkata kajian geologi dan penilaian seismisiti Empangan Baleh telah disiapkan selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Antarabangsa Empangan Besar (ICOLD) oleh Montgomery Watson Harza (MWH Global Malaysia) dengan kerjasama GHD Group dalam kajian kemungkinan pada 2010.

“Kajian serupa turut dilakukan SMEC Malaysia semasa fasa prakejuruteraan pada 2014 di mana rujukan turut dibuat untuk mengkaji seismisiti serantau Sarawak bagi empangan yang dilakukan Seismology Research Centre of Australia,” katanya menjawab soalan Yap Hoi Liong (DAP-Dudong).

Slyvester Entri berkata kajian geologi menunjukkan tiada bukti terdapat batu kapur karstik dalam kawasan takungan air dan oleh itu kebocoran pada takungan ekoran terdapat batu kapur yang banyak adalah tidak mungkin. – Bernama