7 anggota KOPRI tamat kursus

7 anggota KOPRI tamat kursus

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Tujuh anggota baru Sekolah Latihan Pengawalan Keselamatan (KOPRI) telah berjaya menamatkan kursus mereka dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di bilik kursus KOPRI, Pejabat KOPRI, hari ini.

Penyampaian sijil tamat kursus telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KOPRI, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Besar.

Kursus yang bermula pada 16 hingga 20 November lalu ini antara lain bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada ahli-ahli baru mengenai tugas dan tanggungjawab selaku pengawal keselamatan.

Selain mengetahui tindakan yang perlu dilakukan semasa menjalankan tugas, mereka juga mempelajari ilmu dan pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab setelah mereka ditugaskan di pos kawalan masing-masing.

Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang anggota baru KOPRI.
Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang anggota baru KOPRI.

Sepanjang tempoh kursus itu, peserta dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada pesara Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Ahli-ahli baru berkenaan juga berpeluang belajar cara membuat rondaan, tatacara membuat pemeriksaan serta membuat laporan kejadian dan sebagainya.

Dalam pada itu, KOPRI mengalu-alukan penyertaan belia-belia berbangsa Cina yang berkerakyatan Brunei dan penduduk tetap yang berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah menghubungi talian 2342965 atau berkunjung ke pejabat KOPRI di Bangunan Haji Uthman Kompleks, Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa, Kampung Jaya Setia.

ARTIKEL YANG SAMA