7 dilayangkan kad merah

7 dilayangkan kad merah

PARIS, 7 Feb – Tujuh pemain dilayangkan kad merah pada aksi ‘panas’ Ligue 1 Perancis yang turut menyaksikan impian Monaco meraih tiket aksi Liga Juara-juara, musim depan terus menyala selepas tewaskan Nice 1-0.

Kemenangan pada aksi tetangga Riveria itu menyaksikan Monaco kekal di tangga kedua liga di belakang Paris Saint-Germain (PSG), namun menambah jurang kepada enam mata di depan Nice yang menghuni tangga ketiga.

Pemain tengah, Tiemoue Bakayoko menjaringkan gol tunggal Monaco pada minit ke-81 pada aksi di Stade Louis II itu yang terhasil berpunca daripada sepakan percuma pemain tengah, Moutinho.

Begitupun, Monaco terpaksa bermain 10 pemain apabila pemain tengahnya, Nabil Dirar diarah keluar padang kerana membantah keras keputusan pengadil, Tony Chapron.

“Pemain-pemain menunjukkan selain daripada PSG, tiada pasukan lain yang lebih baik daripada kami. Kami mengenali satu sama lain dengan baik, kami tahu bagaimana untuk bermain dengan 10 pemain dan membuktikannya.

Tiemoue Bakayoko berjaya menjaring gol tunggal bagi Monaco, sekaligus berjaya menewaskan pasukan lawan, Nice dengan kiraan 1-0. – Reuters
Tiemoue Bakayoko berjaya menjaring gol tunggal bagi Monaco, sekaligus berjaya menewaskan pasukan lawan, Nice dengan kiraan 1-0. – Reuters

“Pemain-pemain memperoleh perlawanan yang hebat,” kata pengurus Monaco, Leonardo Jardim. Jurulatih Nice, Claude Puel juga memuji kemenangan Monaco.

“Nampaknya, kad merah itu membuatkan mereka nampaknya menjadikan mereka lebih baik. Jika mereka berterusan seperti ini, mereka boleh mengejar PSG,” katanya.

Lyon dalam pada itu turut mencerahkan peluang beraksi di pentas Eropah apabila membenam Angers yang turut beraksi kurang seorang pemain, 3-0.

Angers terpaksa beraksi 10 pemain seawal minit ke-16 perlawanan selepas Thomas Mangani dilayangkan kad merah.

Lorient juga terpaksa bermain 10 pemain apabila Francois Ballugou menerima kad merah namun mereka masih mampu mengikat Montpellier 1-1.

Begitupun aksi paling panas adalah membabitkan Bastia dan Troyes yang menyaksikan tiga pemain diarahkan keluar padang. Beraksi dengan sembilan pemain jelas memberi padah buat Troyes yang tumbang 2-0.

Dalam pada itu, Reims juga menewaskan Caen 2-0, Gazelec Ajaccio seri 0-0 dengan Guingamp yang turut 10 pemain manakala Nantes seri 0-0 dengan Toulouse. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA