7 ditahan untuk siasatan

7 ditahan untuk siasatan

BRUSSELS, 25 Mac (Reuters) – Polis Belgium telah menangkap tujuh orang dalam serbuan semalam berhubung penyiasatan mereka ke atas pengeboman berani mati Islamic State (IS) di Brussels, sementara pihak berkuasa di Perancis mengatakan mereka membatalkan plot militan di sana ‘yang berada di peringkat pendahuluan’.

Pejabat pendakwa persekutuan mengatakan enam orang telah ditahan semasa pencarian di kejiranan Schaerbeek, Brussels di utara dan Jette di barat, serta di tengah bandar Belgium. Penyiaran awam RTBF mengatakan lelaki ketujuh telah ditangkap di kawasan perbandaran Forest, Brussels awal hari ini.

Pengebom berani mati IS menyasarkan lapangan terbang Brussels dan kereta api metro pada Selasa, membunuh kira-kira 31 orang dan mencederakan 270 yang lain dalam serangan terburuk sejarah Belgium.

Akhbar harian De Standaard berkata hari ini, polis telah menangkap seorang lelaki yang dirakam dalam kamera keselamatan di terminal lapangan terbang berhampiran dua pengebom yang meletupkan diri mereka di sana.

Pendakwa tidak mengesahkan penangkapan itu dan ia tidak diketahui jika lelaki itu dalam kalangan tujuh yang ditahan semalam.

Polis menggunakan peranti robot ketika mereka menjalankan pemeriksaan di perbandaran Schaerbeek, Brussels, berikutan pengeboman pada Selasa di Brussels, Belgium pada 24 Mac. – Reuters
Polis menggunakan peranti robot ketika mereka menjalankan pemeriksaan di perbandaran Schaerbeek, Brussels, berikutan pengeboman pada Selasa di Brussels, Belgium pada 24 Mac. – Reuters

Serangan di Brusssels, rumah kepada Kesatuan Eropah (EU) dan NATO, telah mempertingkatkan kebimbangan keselamatan di seluruh dunia dan menimbulkan persoalan tentang keupayaan negeri-negeri EU untuk memberi respons secara efektif kepada ancaman militan IS.

Setiausaha Negeri AS, John Kerry tiba di Brussels hari ini bagi rundingan bersama para pemimpin Suruhanjaya Eropah dan Belghium untuk menawarkan bantuan AS dalam kerjasama keselamatan menentang pengganasan.

Di Paris pada Khamis, pihak berkuasa telah menangkap suspek rakyat Perancis yang tergolong dalam rangkaian militan yang merancang serangan di Perancis.

Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve semasa memberikan ucapan di televisyen mengatakan tangkapan itu membantu ‘menggagalkan plot di Perancis yang masih di peringkat awal’.

Cazeneuve menambah bahawa lelaki yang ditangkap itu ‘disyaki mempunyai penglibatan peringkat tinggi dalam rancangan ini. Dia adalah sebahagian rangkaian pengganas yang merancang untuk menyerang Perancis.”

Notis orang dikehendaki Kementerian Dalam Negeri Perancis yang disiarkan oleh media Perancis menamakannya sebagai Reda Kriket dan mengatakan dia sangat dikehendaki kerana disyaki atas konspirasi pengganas, memberi amaran dia bersenjata dan berbahaya.