7 kadet sertai BGC

7 kadet sertai BGC

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Meskipun melihat kepada suasana ekonomi masa kini di mana harga minyak terus merosot, Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC) akan terus melahirkan anak muda Brunei Darussalam yang mahir.

Dalam keadaan yang kurang baik ini BGC akan terus melaburkan dana bagi menyediakan pendidikan kepada belia dan membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi selaras dengan wawasan Brunei Darussalam 2035.

Ini dinyatakan Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa ketika berucap di majlis penandatangan Kadet BGC di StarLodge Hotel di Jerudong hari ini.

Haji Shahbudin (tengah) menyaksikan kadet-kadet yang terpilih menandatangani kontrak mereka.
Haji Shahbudin (tengah) menyaksikan kadet-kadet yang terpilih menandatangani kontrak mereka.

Dalam ucapannya beliau juga menegaskan program yang bakal disertai tujuh kadet ini akan memberikan pelbagai kemahiran dan pengalaman bagi menjadi seorang pegawai marin yang berkualiti dalam pekerjaan di atas kapal yang kini 85 peratus daripada kakitangannya adalah anak Brunei Darussalam.

BGC kali ini membukakan peluang kepada wanita tempatan untuk memohon pekerjaan di laut yang menjadi kebiasaan bagi kaum lelaki dengan hasrat  mempertingkatkan lagi minat kaum wanita untuk menceburi bidang mencabar di BGC.

Dua wanita daripada tujuh orang kadet disenaraikan dalam majlis penandatangan hari ini untuk melanjutkan pembelajaran dalam Program Kadet, Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam jurusan Sains Nautika di Warsash Maritime Academy, South Hamptom, United Kingdom.

Kadet-kadet yang diraikan hari ini telah melalui beberapa siri penilaian sebelum terpilih untuk bertugas di dalam industri maritim.

Majlis itu turut dihadiri pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan BGC juga ibu bapa dan keluarga kadet-kadet yang diraikan.

ARTIKEL YANG SAMA