7 keluarga dapat perhatian

7 keluarga dapat perhatian

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR), hari ini, telah mengadakan projek amal ‘Jalinan Kasih’ yang membabitkan kunjungan kepada tujuh buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara.

Keluarga-keluarga berkenaan adalah dari Kampung Tanah Jambu, Kampung Madang, Kampung Anggerek Desa, Kampung Burong Pingai, Kampung Rimba, Kampung Tungku dan Kampung Parit Pengkalan Batu yang dipilih untuk menerima sumbangan daripada warga Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam SVNR, rombongan SVNR berkenaan yang disertai guru-guru mata pelajaran Melayu Islam Beraja (MIB) dan ahli jawatankuasa badan sosial SVNR, telah diketuai oleh Haji Talip bin Haji Bakar.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Penolong Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dan Timbalan Pengetua (Pentadbiran) SVNR, IBTE, Awang Aminurrashid bin Haji Ibrahim.

Rombongan projek amal ‘Jalinan Kasih’ bergambar ramai bersama salah seorang penerima sumbangan.
Rombongan projek amal ‘Jalinan Kasih’ bergambar ramai bersama salah seorang penerima sumbangan.

Menurut pengerusi projek amal SVNR, Awang Mohd Rimi bin Awang Ahmad, objektif dan tujuan utama projek amal tersebut adalah untuk mengeratkan tali silaturahim di antara warga IBTE dengan masyarakat.

Dalam masa yang sama mewujudkan masyarakat penyayang dan pemedulian, memupuk semangat “Inda camah mata” dalam kalangan masyarakat, dan bagi menyemarakkan lagi aktiviti di bulan suci Ramadan Al-Mubarak.

Kutipan sumbangan berupa barang-barang dan makanan asasi seperti beras, minyak, gula, mi segera dan sebagainya, serta wang ringgit telah dijalankan pada 25 hingga 30 Jun 2015 lalu.