7 keluarga terima bantuan rumah

7 keluarga terima bantuan rumah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Sebanyak tujuh buah keluarga yang terdiri daripada orang-orang susah telah menerima sumbangan bantuan berupa rumah menerusi Projek Julangan Titah dengan majlis penyerahan anak kunci rumah-rumah berkenaan telah diadakan kelmarin.

Hadir menyampaikan plak sumbangan bantuan-bantuan rumah berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar, yang memberitahu media bahawa projek berkenaan memberikan peluang kepada syarikat swasta dan kerajaan untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Beliau seterusnya menjelaskan, Julangan Titah adalah salah satu inisiatif Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pembangunan khususnya daripada Jabatan kerja Raya, Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur dan Tentera Darat Diraja Brunei yang bertindak sebagai Urus Setia Khas Projek Julangan Titah dan pemborong yang dilantik.

Penerima-penerima yang terpilih merupakan keluarga yang kurang berkemampuan, memandangkan keadaan rumah-rumah penerima tidak selamat untuk didiami.

Sesi bergambar ramai bersama penerima Projek Julangan Titah.
Sesi bergambar ramai bersama penerima Projek Julangan Titah.

Dato Paduka Haji Suhaimi seterusnya berkata, Urus Setia Khas Projek Julangan Titah telah mencari jalan keluar supaya pembinaan rumah-rumah yang sangat diperlukan dapat disiapkan dalam masa sesingkatnya.

“Alhamdulillah, satu kaedah pembinaan rumah secara Innovative Building Method (IBM) telah diguna pakai yang mana pembinaan rumah sahaja hanya mengambil masa sebulan. Jawatankuasa berkenaan telah dapat menyiapkan sebanyak sembilan buah rumah persendirian termasuk sebuah rumah panjang 15 pintu khas untuk mereka yang terpilih,” ujar beliau.

Mereka yang menerima rumah-rumah berkenaan ialah Dayang Samanah binti Awang Metussin di No 14, Simpang 119, Kampung Mumong Selatan, Kuala Belait; Hajah Murah binti Tamit di Daerah Tutong; Dayang Fauzanah binti Ahad di Kampung Pengkalan Batu, Limau Manis; Haji Abdul Rahman bin Haji Kamis di Kampung Delima Dua; Dayang Siti Nor Manja Lina Wati binti Haji Abdul Rahman di Kampung Delima Dua; Dayang Siti Nor Manja Marne di Kampung Delima Dua; dan Dayang Faridah binti Kamis di Kampung Tanah Jambu.

ARTIKEL YANG SAMA