7 keluarga terima sumbangan

7 keluarga terima sumbangan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Kelab New Mini Owners Brunei (NMOB) dengan kerjasama Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kampung Pulaie telah menganjurkan Majlis Amal NMOB iaitu menyampaikan sumbangan barangan asasi kepada tujuh buah keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Turut menyertai majlis pengagihan sumbangan itu, kelmarin, ialah Penaung Kelab NMOB, Haji Mohd Nazri bin Haji Satri.

Semasa Penyampaian sumbangan dijalankan, ahli-ahli kelab telah dibahagikan kepada tiga buah kumpulan untuk mengagihkan sumbangan kepada keluarga yang terpilih secara serentak, yang meliputi kawasan Kampung Subok, Kampung Mentiri, Kampung Lambak Kanan, Kampung Sengkurong, Kampung Kilanas, Kampung Batu Ampar dan Kampung Limau Manis.

Sumbangan berupa barangan makanan asasi seperti beras, minyak, gula, bawang dan lain-lain itu, merupakan hasil sumbangan daripada ahli Kelab NMOB bersama keluarga yang bertujuan untuk membantu dan meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan.

Majlis sumbangan amal yang diadakan ini merupakan salah satu aktiviti amal Kelab NMOB di bulan Ramadan.

Antara golongan yang kurang berkemampuan yang diberikan sumbangan oleh Ahli-ahli Kelab NMOB kelmarin.
Antara golongan yang kurang berkemampuan yang diberikan sumbangan oleh Ahli-ahli Kelab NMOB kelmarin.
Lebih 50 ahli Kelab NMOB yang menjayakan Majlis Pengagihan Sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Lebih 50 ahli Kelab NMOB yang menjayakan Majlis Pengagihan Sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Kelab ini juga pernah menyampaikan derma kepada anak-anak yatim di bulan Ramadan tahun lalu dan pernah menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan masjid di beberapa buah masjid di negara ini bersempena Ulang Tahun Penubuhan Kelab NMOB pada awal tahun 2016.

Selepas penyampaian sumbangan, ahli-ahli kelab NMOB seterusnya mengadakan Majlis Bersungkai di Pondok Seri Wangi, Jerudong Food Court dan diselajurkan dengan majlis bertahlil dan Doa Selamat.

Seramai 26 orang ahli kelab terlibat mengikuti majlis amal itu dan diikuti oleh seramai 43 orang ahli kelab bersama keluarga hadir pada Majlis Bersungkai. Setakat ini, Kelab NMOB telah mengumpulkan lebih 400 orang ahli.

Urus setia Kelab NMOB melahirkan harapan agar majlis amal ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu orang-orang yang kurang berkemampuan di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli.

ARTIKEL YANG SAMA