7 kes terbaru MERS di Korea Selatan

7 kes terbaru MERS di Korea Selatan

SEOUL, 14 Jun (AFP) – Korea Selatan hari ini melaporkan tujuh kes terbaru virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dalam wabak yang sudah pun mengorbankan 14 orang, tatkala seorang warga dimasukkan ke hospital di Slovakia setelah disyaki membawa penyakit tersebut di sana.

Kes terbaru itu menjadikan jumlah jangkitan MERS di Korea Selatan pada 145 orang, menurut Kementerian Kesihatan.

Empat daripada kes terbaru membabitkan jangkitan di Pusat Perubatan Samsung di Seoul, salah sebuah hospital terbesar negara di mana lebih daripada 70 orang telah dijangkiti virus berkenaan, katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang anggota paramedik yang membantu menghantar seorang pesakit MERS ke hospital pada 7 Jun turut dijangkiti.

Semalam, pihak berkuasa mengumumkan pemandu ambulans yang juga terbabit dalam menghantar pesakit – yang meninggal dunia tiga hari kemudian – juga telah dijangkiti.

Presiden Pusat Perubatan Samsung, Song Jae-Hoon (tengah), sejurus selepas sidang media di Seoul pada 14 Jun 2015. – AFP
Presiden Pusat Perubatan Samsung, Song Jae-Hoon (tengah), sejurus selepas sidang media di Seoul pada 14 Jun 2015. – AFP

Salah seorang daripada beberapa pesakit baru lain dijangkiti di bahagian tengah bandar Daejeon dan seorang lagi di Hwaseong, kira-kira 43 kilometer di selatan Seoul.

Kementerian Kesihatan tidak melaporkan kematian baru, sambil berkata 10 pesakit telah sembuh setakat ini dan dibenarkan keluar dari hospital.

Demi mengelak jangkitan seterusnya di kalangan pesakit dan kakitangan perubatan, hospital Samsung hari ini menggantung kebanyakan operasinya buat sementara waktu.

Ia akan berhenti merawat pesakit luar, menerima pesakit baru, atau menjalani pembedahan yang tidak dianggap penting, beritahu Presiden Pusat Perubatan Samsung, Song Jae-Hoon kepada wartawan.

Tidak ada pelawat dibenarkan masuk, kata beliau, sambil menambah beliau akan memutuskan pada 24 Jun sama ada untuk meneruskan penggantungan separa itu.

ARTIKEL YANG SAMA