7 korban puting beliung

7 korban puting beliung

CHICAGO, 24 Dis (AFP) – Ribut dan puting beliung mengorbankan kira-kira tujuh orang dan berbelas-belas lagi cedera apabila ia melanda kawasan besar di timur AS semalam, menurut laporan dan para pegawai.

Rumah rosak teruk atau malah diranapkan dan kira-kira dua orang dilaporkan hilang apabila siri-siri puting beliung melanda beberapa buah negeri, dan meninggalkan jejak kemusnahan.

Tetapi bahaya belum berakhir, dengan lebih banyak puting beliung kuat mengancam beberapa bahagian Tennessee, Alabama, Kentucky dan Mississppi dan ribut petir teruk juga mengintai-intai rantau itu, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan yang mengeluarkan berbelas-belas amaran cuaca.

Laporan awal mengatakan mangsa paling muda ialah seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemui mati akibat ribut di Mississippi, lapor ABC dan NBC News.

Laporan-laporan mengatakan ribut telah mengangkat dan melambungkan kereta yang dinaiki oleh budak lelaki itu.

Kira-kira 40 orang tercedera di negeri itu, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi. Hampir 70 juta orang diramalkan berada dalam laluan ribut malam semalam, lapor ABC, dengan bilangan yang terbunuh dan tercedera dijangka meningkat.