7 lagi produk perlu dielakkan

7 lagi produk perlu dielakkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Menerusi aktiviti pemantauan semasa pasaran di kedai-kedai runcit, tujuh lagi produk telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan hasil daripada ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Produk-produk tersebut ialah tiga produk suplemen kesihatan iaitu Obat Tradisional Super Kecetit Asam Tablet (dikilangkan/diedarkan oleh PJ Muncul Jaya, Jateng-Indonesia) yang dicemari dengan Phenylbutazone; BodySlim Herbal Capsule dicemari dengan Siburtramine; dan 7 Day Slim Capsule (oleh Slimming Healthcare LLC, USA) juga dicemari dengan Sibutramine.

Empat lagi ialah produk kosmetik iaitu Dara Anggun-Glow Glowing Beauty Skin, Night Glowing (oleh Eniq World Enterprise) yang dicemari dengan merkuri; Dara Anggun-Glow Glowing Beauty Skin, Night Glow (juga oleh Eniq World Enterprise) dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin; Wonder Glow Super Ultra Glowing Cream Version SPF45++ Day Cream dan Wonder Glow Super Ultra Glowing Cream Version SPF45++ Night Cream yang mana kedua-dua produk ini dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, hari ini, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Penggunaan Phenylbutazone tanpa pengawasan boleh menyebabkan ulser peptic, pendarahan gastro-usus, loya, muntah-muntah, ruam kulit, kabur penglihatan, edema, penyakit kuning dan kegagalan buah pinggang. Phenylbutazone juga sering dikaitkan dengan kesan sampingan yang teruk seperti penyakit darah yang serius.

pg02_160126_a

Manakala Sibutramine pula adalah ejen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya boleh memudaratkan jantung dan hati.

Pengambilannya juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Merkuri pula merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007. Penggunaannya dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Sementara itu, Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit. Penggunaannya yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA