7 lelaki Filipina ditahan langgar perintah berkurung

7 lelaki Filipina ditahan langgar perintah berkurung

TAWAU, 4 April (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan sebuah bot kumpit bersama tujuh lelaki dari Filipina kerana melanggar perintah berkurung di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), semalam.

Komander PPM Sabah, ACP Mohammad Madon berkata lelaki berusia antara 33 dan 52 tahun ditahan pada pukul 7.07 malam dalam Op Paradise di kawasan perairan Kampung Wakuba selepas didapati berada di kawasan larangan.

“Bot kumpit itu berlepas dari pelabuhan Tawau untuk balik ke negara mereka (Filipina),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya juragan bot itu gagal menunjukkan permit polis untuk berada di kawasan perintah berkurung pada waktu dan tempat berkenaan.

Perintah berkurung di ESSZone mulai jam 7 malam hingga 5 pagi berkuat kuasa sehingga 17 April ini membabitkan jarak tiga batu nautika dari kawasan pantai daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.