7 letupan hampir serentak, 150 maut

7 letupan hampir serentak, 150 maut

BEIRUT, 24 Mei (AFP) – Kira-kira 150 orang maut dalam pengeboman semalam didakwa dilakukan IS di barat laut Syria, serangan paling dahsyat setakat ini di kawasan tepi pantai dikuasai rejim.

Tujuh letupan hampir serentak menyasarkan stesen bas, hospital dan kawasan awam lain berlaku di bandar tepi laut di Jableh dan Tartus, sehingga kini terlindung daripada perang saudara lima tahun Syria.

Serangan tidak dijangka ke atas kubu kuat rejim Presiden Bashar al-Assad muncul ketika IS berdepan tekanan meningkat di Syria dan Iraq, di mana tentera Baghdad semalam melancarkan serangan besar-besaran untuk mengambil alih bandar ditawan pemberontak di Fallujah.

Kemusnahan bandar Tartus, Syria angkara serangan dahsyat IS, kelmarin. – AFP
Kemusnahan bandar Tartus, Syria angkara serangan dahsyat IS, kelmarin. – AFP

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), kira-kira 100 orang terbunuh di Jableh dan tambahan 48 lagi di Tartus sehingga ke selatan, sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak.

Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman berkata, serangan itu “tidak syak lagi adalah paling dahsyat” ke atas dua bandar terbabit sejak konflik bermula Mac 2011.

IS menerusi agensi berita Amaq, mendakwa pejuangnya menyerang “perhimpunan Alawit” di Jableh dan Tartus, merujuk kepada mazhab minoriti keturunan Assad.