7 luagan digali tangani kebakaran

7 luagan digali tangani kebakaran

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 14 April – Sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang untuk menangani kebakaran hutan di kawasan Lebuh Raya Mumong-Seria Bypass, tujuh luagan (burrow pits) sedang digali di sepanjang KM16 hingga KM20.

Luagan-luagan itu akan diisi dengan air yang disalirkan dari luagan kawasan pedalaman bagi kemudahan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada masa diperlukan.

Beberapa buah jengkaut, kini dapat dilihat telah diletakkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bertentangan lebuh raya tersebut bagi memulakan proses kerja-kerja menggali luagan tersebut.

Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat Daerah Belait Cawangan ‘B’, Awang Mohd Shareeni bin Haji Mohd Yusof berkata, luagan-luagan ini adalah penting pada masa akan datang sekiranya kejadian kebakaran hutan besar berlaku lagi.

Menurutnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat secara rutin telah menghadapi kekurangan sumber air untuk meneroka di kawasan yang berhampiran dengan kebakaran hutan, terutamanya yang terletak di lebuh raya bertentangan.

Jengkaut yang melakukan kerja-kerja bagi penggalian tujuh luagan.
Jengkaut yang melakukan kerja-kerja bagi penggalian tujuh luagan.

Beliau berkata, luagan itu bertujuan untuk menyediakan sumber air bagi para anggota bomba dan sebahagian daripada persediaan jika kebakaran bermula sekali lagi di kawasan yang sama.

“Air dari luagan-luagan ini boleh digunakan untuk mengisi tangki simpanan air trak bomba yang memerlukan air di kawasan itu, jadi apabila kebakaran hutan di sepanjang jalan lebuh raya ini berada pada skala yang teruk pada bulan Februari lalu, anggota bomba terpaksa menyediakan empangan sementara di antara lapan hingga 12 ribu liter air, yang diisi oleh tangki air daripada JKR dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi,” ujarnya.

Sebelum itu beliau berkata, sejumlah besar air diperlukan untuk menangani kebakaran hutan tanah gambut, kerana tanah itu perlu ‘benar-benar dibanjiri’ untuk mengelakkan api daripada merebak di bawah permukaan tanah.

“Hanya memadam api di atas tanah tidak akan mencukupi, kerana gambut masih boleh membakar dari bawah permukaan,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA