7 mangsa buaya di Sarawak tahun ini

7 mangsa buaya di Sarawak tahun ini

SIBU, 21 April – Sebanyak tujuh kes serangan buaya telah direkodkan di seluruh negeri sehingga April ini, kata Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Sapuan Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu tiga mangsa telah meninggal dunia, tiga lagi cedera dan seorang mangsa masih hilang.

“Peningkatan populasi manusia dan buaya telah menyebabkan sumber makanan menjadi terhad dan menimbulkan persaingan menyebabkan buaya mengganggu manusia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia Peringkat Sarawak 2016 di Rizab Semulajadi Bukit Lima, dekat sini.

Turut hadir ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh mewakili Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan untuk merasmikan majlis itu.

Sapuan berkata bagi mengurangkan persaingan kedua-dua pihak, Kerajaan Sarawak telah mewujudkan Zon Bebas Buaya di tujuh kawasan utama seluruh negeri. – Bernama