7 maut kemalangan bot nelayan di NZ

7 maut kemalangan bot nelayan di NZ

WELLINGTON, 27 Nov – Tujuh orang terbunuh dan seorang lagi hilang selepas sebuah bot nelayan yang disewa hilang dari pandangan dalam ombak besar di laluan masuk ke sebuah pelabuhan dekat Auckland, menurut pihak berkuasa New Zealand (NZ).

Bot Francie membawa 11 orang didalamnya apabila ia ditimpa masalah tengah hari semalam di Pelabuhan Kaipara. Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan tiga orang mangsa dari perairan, yang kemudian telah dihantar ke hospital. Usaha mencari bagi mereka yang hilang diteruskan hari ini, menurut inspektor polis Duncan Hall.

Anggota krew dari bot itu telah memaklumkan pengawal pantai bahawa mereka cuba melalui bar pasir pada laluan masuk ke pelabuhan itu kira-kira 2 petang, menurut Patrick Holmes, ketua eksekutif pengawal pantai New Zealand.

Menurutnya pengawal pantai telah membuat laporan kecemasan sejam kemudian apabila bot itu tidak melapor balik dan tidak lagi dapat dihubungi di radio marin atau melalui telefon bimbit.

Bot-bot lain di kawasan itu melaporkan pengawal pantai bahawa mereka tidak lagi melihat bot itu, meskipun dia tidak lagi jelas jika ia telah karam. Penyiasatan sedang dijalankan.

Keadaan pantai Muriwai kelmarin selepas bot nelayan Francie yang disewa itu hilang di luar Auckland, New Zealand. – AP
Keadaan pantai Muriwai kelmarin selepas bot nelayan Francie yang disewa itu hilang di luar Auckland, New Zealand. – AP

Ombak setinggi empat meter pada ketika kemalangan itu terjadi, kata Holmes. Bar-bar pasir terbentuk apabila pasir terbina di dasar laut, sesuatu yang boleh berlaku di laluan masuk ke pelabuhan yang mana lautan bertemu air pelabuhan yang lebih tenang.

“Semua penyeberangan adalah berbahaya. Ia berpindah dengan ribut dan pasang surut, dengan itu bar-bar pasir tidak berada pada kedudukan sama,” kata Holmes lagi. “Kerana ia adalah gangguan dasar laut, tindakan ombak menjadi terganggu dan tidak sekata.”

Mereka yang menyaksikan memberitahu Television New Zealand bahawa para penyelamat yang berada di dalam helikopter telah mengangkat mangsa-mangsa dari perairan dan menempatkan mereka di pantai, yang mana para penduduk setempat memanaskan badan mereka sehingga kereta ambulans tiba.

Menurut polis mereka masih cuba memastikan apa yang telah berlaku kepada bot itu dan bagaimana penghuninya berakhir di pelabuhan, yang kira-kira 75 kilometer barat laut Auckland.

Inspektor Hall berkata para penyelamat telah menemui lima mayat dari perairan tidak lama selepas kemalangan itu. Dua lagi mayat dihanyutkan di pantai berhampiran dan ditemui awal hari ini. – AP