7 maut nahas helikopter Pakistan

7 maut nahas helikopter Pakistan

NALTAR, Pakistan, 8 Mei (AFP/Reuters) – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh hari ini, termasuk duta Norway dan Filipina serta isteri duta Malaysia dan Indonesia apabila sebuah helikopter terhempas di sebuah sekolah di utara Pakistan, kata pegawai, mengingatkan jumlah mangsa yang terbunuh mungkin meningkat.

Selain Duta Norway, Leif Larson, Duta Filipina Domingo Lucenario dan isteri duta Malaysia, Habibah Mahmud serta isteri duta Indonesia, Hery Listyawati dan dua juruterbang serta seorang anggota krew juga terbunuh, kata jurucakap tentera Asim Bajwa dalam pos Twitternya.

Menurut Bajwa, duta Poland dan Belanda adalah antara yang cedera. Duta Afrika Selatan, Lubnan dan Romania juga berada dalam pesawat itu, menurut senarai diperoleh Reuters. Kementerian Luar Romania mengatakan dutanya selamat dan tidak cedera.

Pegawai mengatakan keadaan adalah “terdesak” selepas helikopter – satu daripada tiga yang membawa rombongan tiga diplomat dan penolong mereka – terhempas ke sekolah dengan kanak-kanak di dalamnya.

Konvoi tiga helikopter itu sedang membawa satu rombongan yang terdiri daripada diplomat asing dan pembantu mereka ke wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan, yang membentuk sebahagian dari rantau Kashmir.

Askar Pakistan berhimpun berhampiran sebuah helikopter di hospital tentera di mana mangsa nahas helikopter dibawa untuk rawatan di Gilgit, 8 Mei. Sebuah helikopter tentera terhempas ke atas sebuah sekolah di utara negara itu, membunuh tujuh orang termasuk duta Norway dan Filipina. – AFP
Askar Pakistan berhimpun berhampiran sebuah helikopter di hospital tentera di mana mangsa nahas helikopter dibawa untuk rawatan di Gilgit, 8 Mei. Sebuah helikopter tentera terhempas ke atas sebuah sekolah di utara negara itu, membunuh tujuh orang termasuk duta Norway dan Filipina. – AFP

“Ia adalah lawatan diplomatik dengan anggota dari 37 negara pada keseluruhannya,” kata seorang penumpang dalam salah sebuah helikopter, yang meminta namanya tidak disiarkan, menambah sekolah telah terbakar selepas nahas.

“Kami telah diberitahu supaya menghantar seberapa banyak ambulans kerana keadaan di sana adalah “terdesak,” kata seorang pegawai kanan.

Menurutnya lagi, maklumat awal mengatakan punca nahas adalah kesilapan teknikal.

Bagaimanapun, Taliban Pakistan mengaku mereka menembak jatuh pesawat itu namun saksi di tempat kejadian dan tiga lagi helikopter yang mengikuti lawatan itu, melaporkan ia tidak menunjukkan sebarang kejadian tembakan.

Mangsa yang cedera dibawa dengan kapal terbang ke sebuah hospital tentera di Gilgit, ibu negeri pentadbiran rantau, kira-kira 50 kilometer ke barat daya, tambah pegawai polis tempatan.

Di bandar Gilgit, seorang pegawai hospital berkata mangsa cedera dibawa dengan pengusung ke wad kecemasan Hospital Tentera.