7 negara sertai pesta cabaran laut

7 negara sertai pesta cabaran laut

LABUAN, 26 April – Pelbagai acara sukan, seni dan budaya akan diadakan di sini hujung minggu ini yang akan menarik ribuan pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah memberi peruntukan kepada Perbadanan Labuan (LC) untuk menganjurkan acara antarabangsa tahunan itu, ‘Labuan International Sea Challenge 2016’ bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Pengurus Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor berkata empat acara sukan antarabangsa yang dinanti-nantikan ialah Cabaran Berenang Merentas Selat sejauh 5.4 kilometer (km), Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau 50km, Pertandingan Memancing Pulau ke Pulau dan Tarik Tali Berperahu.

Peserta antarabangsa ialah dari Brunei, Filipina, Jepun, Perancis, Belanda, Australia dan Sepanyol.

Acara itu disokong MTPB, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Labuan, Labuan Surf Cast Group, Majlis Sukan Labuan, Majlis Belia Labuan dan Persatuan Kanu Labuan.

“Acara utama di Labuan ini merupakan pelaburan yang dibuat untuk membawa masuk pelancong dari dalam dan luar negara bagi merancakkan industri pelancongan.

“Ia juga akan membantu meningkatkan reputasi Labuan sebagai tempat yang menarik, dinamik dan bersemangat untuk dilawati, didiami, bekerja dan belajar yang mana penduduk dan pelancong berpeluang menghadiri acara-acara bertaraf antarabangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata dijangkakan lebih 10,000 orang termasuk penyokong dan peserta akan menghadiri acara sepanjang tiga hari itu.

“Berpuluh ribu pengunjung akan tinggal di hotel kita, makan dan minum di restoran kita dan membeli produk di kedai kita sekaligus menyokong perniagaan tempatan,” katanya.

Hotel Tiara di sini menawarkan diskaun bilik 30 ke 35 peratus termasuk di Villa Tiara (sesuai untuk pengunjung berkumpulan) sempena acara tahunan itu. Pengurus Bahagian Bilik hotel itu Yatie Yussof berkata ia merupakan sebahagian daripada sokongan hotel itu terhadap acara yang dianjurkan kerajaan. – Bernama