7 pejuang Hamas maut ketika gali terowong

7 pejuang Hamas maut ketika gali terowong

BANDAR GAZA, 29 Jan – Tujuh pejuang Hamas disahkan maut semalam selepas tertimbus dalam runtuhan sebuah terowong yang sedang digali.

Briged Ezzedine Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, berkata empat pejuangnya berjaya menyelamatkan diri selepas runtuhan terowong itu pada petang Selasa, dipercayai akibat hujan yang berterusan selama beberapa hari.

Briged Al-Qassam berkata, tujuh pejuang itu terbunuh “apabila mereka sedang bersiap sedia memerangi musuh.”

Lapan pejuang pada mulanya dilaporkan hilang oleh sumber keselamatan. Satu sumber Hamas berkata, tiga orang dapat menyelamatkan diri dalam jam pertama runtuhan, sementara mangsa keempat diselamatkan kemudian.

Kawasan terowong itu terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.

Warga Palestin melihat mayat enam daripada tujuh militan Hamas yang terbunuh selepas terowong yang dibina untuk melawan Israel runtuh di Semenanjung Gaza, di rumah mayat hospital al-Shifa di Bandar Gaza. – AFP

Terowong seperti itu digunakan pada masa lalu untuk menyimpan senjata atau melancarkan serangan, termasuk menyeberang di bawah sempadan Israel ketika perang tahun 2014. – AFP