7 pelajar Jepun timba pengalaman di UBD

7 pelajar Jepun timba pengalaman di UBD

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Tujuh orang pelajar perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Kagawa, Jepun memulakan Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa ke-10 di Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Pelancaran program berkenaan telah disempurnakan oleh Charge d’Affaires di Kedutaan Jepun ke Brunei Darussalam, Dr. Toshio Kaneko pada majlis yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah para pegawai dari UBD, Dekan PAPRSB IHS, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan para jemputan lainnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program ini merupakan peluang yang sangat berharga bagi para pelajar berkenaan untuk menambah pengalaman mereka sebagai seorang pengamal perubatan pada masa hadapan.

Program ini juga membantu mereka untuk lebih bersedia dalam melanjutkan pembelajaran sama ada di dalam mahupun luar negara pada tahap yang lebih tinggi di samping meningkatkan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris, dapat berinteraksi bersama pelajar-pelajar antarabangsa yang lain dan juga membantu pelajar tempatan untuk meluaskan pengalaman mereka dalam aktiviti akademik, sosial dan budaya.

Toshio Kaneko merasmikan program berkenaan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD.
Toshio Kaneko merasmikan program berkenaan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD.
Tujuh pelajar Jepun bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan warga PAPRSB IHS, UBD.
Tujuh pelajar Jepun bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan warga PAPRSB IHS, UBD.

UBD berharap dengan adanya program sedemikian, ia akan dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan pelajar perubatan Negara Brunei Darussalam dan Jepun, di samping bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perubatan sains.

Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa merupakan satu pencapaian berterusan UBD dalam mempromosikan pertukaran pelajar sebagai sebuah universiti antarabangsa. Ia juga menunjukkan kerjasama yang erat dan padu di antara kedua-dua buah negara dalam program pertukaran aktiviti dan akademik bagi memajukan lagi sesebuah masyarakat melalui percambahan buah fikiran dan budaya daripada kedua-dua belah pihak.

Program ini merupakan projek kerjasama tahunan antara PAPRSB IHS dan Universiti Kagawa yang bermula pada tahun 2006. Dalam program selama sebulan ini, para pelajar akan terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik dan struktur pembelajaran serta pengetahuan sama ada dari segi teori dan praktikal perubatan.

ARTIKEL YANG SAMA