7 pelancong ‘tidak senonoh’ diusir

PHNOM PENH, 12 Feb – Tujuh daripada 10 orang warga asing yang diberkas atas dakwaan melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ di sebuah pesta kolam renang di bandar pelancong Kemboja, Siem Reap telah diusir, menurut seorang pegawai mahkamah hari ini.

Polis menuduh mereka ‘menyanyi dan menari dalam keadaan tidak senonoh’ selepas penahanan mereka dua minggu lalu pada satu pesta di sebuah vila persendirian di Siem Reap, tempat persinggahan bagi para pelancong yang ingin pergi ke kuil Angkor Wat Kemboja yang terkenal.

Mahkamah Siem Reap mendakwa mereka menghasilkan gambar dan bahan yang tidak senonoh dan seorang pendakwa berkata para penganjur pesta mengedarkan imej lucah secara online untuk mempromosikan pesta itu.

Kumpulan itu yang terdiri daripada lima warga Britain, dua Kanada, seorang warga Norway, seorang warga New Zealand dan seorang warga Belanda berdepan dengan hukuman penjara setahun tetapi peguam mereka memohon dan menerima ikat jamin untuk tujuh daripada mereka dengan alasan mereka tidak mengaturkan pesta itu.

Jurucakap mahkamah Yin Srang memberitahu AFP hari ini bahawa mahkamah telah mengusir mereka dari negara itu sebagai sebahagian dari keputusan ikat jamin, meskipun dakwaan ke atas mereka belum digugurkan secara rasmi.

“Mereka telah meninggalkan Kemboja. Kami telah menyerahkan balik pasport mereka,” ujarnya.

Peguam mereka Ouch Sopheaktra mengesahkan bahawa ketujuh-tujuh mereka telah meninggalkan negara dan berkata dia tidak ada rancangan untuk memohon ikat jamin bagi tiga orang lagi, iaitu warga Britain, Belanda dan Norway.

Kesemua 10 tertuduh menafikan dakwaan itu, dengan hanya mengatakan mereka memakai pakaian ‘seksi’ tetapi tidak berbogel dan tidak membuat kelakuan ‘tidak senonoh’. Pihak berkuasa belum lagi mengumumkan tarikh perbicaraan.

Sebahagian rakyat Kemboja beragama Buddha dan kuil-kuil Angkor Wat dianggap suci, yang membawa kepada penahanan warga asing kerana mengambil gambar aksi lucah di tapak tinggalan dan menegah pemakaian pakaian yang terdedah di sana pada tahun 2016. – AFP