7 pemain negara sertai Kejohanan Golden Break 9 ball

7 pemain negara sertai Kejohanan Golden Break 9 ball

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Tujuh pemain daripada Persatuan Sukan Cue Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan Golden Break 9 ball ke-7 2016 di Kuala Lumpur bermula 10 hingga 20 Jun 2016 ini nanti.

Pasukan yang diketuai oleh Pengiran Mohd Faiq dan disertai Jurulatih, Lim Tat Hwe, itu akan menampilkan pemain-pemain seperti Muhd Haikal Qarin, Muhammad Addul Wafiy, Faizzal, Andrew Lo, Pengiran Mohd Ikmal, Ahmad Taufiq dan Haji Mohd Khairuddin untuk membawa nama negara di kejohanan itu nanti.

Kejohanan kali ketujuh yang dianjurkan oleh Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia dengan sokongan Kesatuan Pocket Billiard Asia itu akan memulakan perlawanan pada 11 hingga 19 Jun 2016 ini dan akan menampilkan peserta negara di beberapa lokasi utama.

Pada 11 dan 12 Jun peserta akan terlibat dalam pusingan kelayakan di Sri Damansara sebelum diteruskan pusingan kedua di Kuchai Avenue pada 14 hingga 16 Jun 2016 sebelum peringkat 32 terakhir, 16 terakhir, suku akhir, separuh akhir dan akhir di USJ di Subang Jaya.

Barisan pemain negara yang bakal menyertai kejohanan itu.
Barisan pemain negara yang bakal menyertai kejohanan itu.

Kejohanan itu menawarkan hadiah berupa wang tunai RM30,000 serta trofi bagi juara, RM15,000 dan trofi bagi naib juara, RM7,000 serta trofi bagi peserta separuh akhir, RM3,000 serta Trofi bagi peserta suku akhir, RM1,500 serta trofi bagi 16 terakhir dan RM800 serta pingat bagi 32 terakhir.

Sebanyak 96 peserta akan bertarung dalam kejohanan itu nanti, termasuk 16 pemain yang menyertai peringkat kelayakan, 24 kelayakan peringkat pertama, dua finalis tahun lalu, 44 pemain antarabangsa dan 10 pemain wildcard.