7 pengawal keselamatan terima sijil

7 pengawal keselamatan terima sijil

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Sekolah Latihan Pengawal Keselamatan (POLKOP), hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pengawal Keselamatan bagi tujuh orang pengawal yang baru dilantik.

Hadir untuk menyampaikan sijil kursus pada majlis yang berlangsung di Bilik Taklimat KOPRI di Bangunan BT-Haji Uthman, Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa, Kampung Jaya Setia itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI), Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Besar.

Menurut Pengurus Besar KOPRI, Superintenden (Bersara) Haji Ismail bin Haji Yassin, sejak ditubuhkan pada Julai 2015, POLKOP telah melatih seramai 85 orang pengawal keselamatan, termasuk 14 orang wanita.

Katanya, pada masa yang sama POLKOP juga memberi kursus kepada pengawal keselamatan baru yang telah lulus peringkat tapisan keselamatan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei.

Menurutnya, kursus itu diadakan supaya para pengawal keselamatan tahu tentang tugas dan tanggungjawab selaku pengawal keselamatan dan tahu akan tindakan yang patut diambil setelah mereka ditugaskan di pos kawalan masing-masing.

Para pengawal keselamatan KOPRI bergambar ramai di majlis berkenaan.
Para pengawal keselamatan KOPRI bergambar ramai di majlis berkenaan.

Katanya lagi, antara pengisian kursus ialah cara-cara membuat rondaan, membuat perhubungan melalui walkie-talkie, tatacara melengkapkan buka siang malam, tatacara membuat pemeriksaan pelawat persendirian dan peraturan tatatertib pengawal.

Beliau menjelaskan, semua pengawal keselamatan yang baru juga akan diberikan kursus ulang kaji sekitar tiga hingga empat bulan setelah mereka memulakan tugas.

Dalam perkembangan berasingan, KOPRI telah mengadakan Upacara Penyampaian Sijil Penghargaan Kerja Lama, Sijil Kenaikan Pangkat dan Sijil Kepujian kepada pengawal keselamatan KOPRI yang telah berjaya menangkap pencuri di bangunan-bangunan kerajaan serta gedung perniagaan.

Penyampaian sijil dan penghargaan itu telah disempurnakan oleh Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman di Bilik Taklimat KOPRI kepada enam orang pekerja yang lama berkhidmat dengan KOPRI, sementara lima orang pengawal keselamatan menerima sijil kenaikan pangkat dan lima orang lagi diberikan sijil penghargaan kerana berjaya menangkap pencuri di gedung perniagaan dan bangunan kerajaan.

Tujuan penyampaian sijil itu adalah bagi memberi semangat kepada ahli di samping menunjukkan prestasi kerja yang baik dan memberi contoh kepada ahli lain.

ARTIKEL YANG SAMA