7 skim tidak berlesen

7 skim tidak berlesen

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati apabila menyertai mana-mana skim yang tidak dilesenkan di bawah undang-undang atau peraturan yang ditadbirkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyenaraikan tujuh entiti yang tidak dilesenkan di bawah mana-mana undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditadbir oleh AMBD iaitu Dinar Dirham, Zenith Gold, Powergold, Rich World Revolution (RWR), PhytoScience, Mon Space dan Mface.

Orang ramai diingatkan sekali lagi untuk berhati-hati apabila menyertai mana-mana skim pelaburan atau transaksi kewangan dan terlebih dahulu mengesahkan kesahihan skim-skim pelaburan yang ditawarkan serta meneliti risiko yang berkemungkinan timbul daripada melabur dalam skim tersebut. Jika syarikat-syarikat tersebut berada di luar negara, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan dengan pihak berkuasa di luar negara sama ada ia dilesenkan atau sebaliknya.

Pengguna kewangan yang ingin melibatkan diri dalam skim-skim pelaburan yang tidak dilesenkan AMBD diingatkan bahawa mereka tidak dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir AMBD yang bertujuan untuk menjaga kepentingan pelabur-pelabur dengan memastikan hanya institusi/individu yang berkelayakan boleh memberikan perkhidmatan kewangan kepada orang ramai.

Senarai nama individu-individu dan institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui AMBD App, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau dengan melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA