7 warga Indonesia jalani perbicaraan terlibat dengan IS

7 warga Indonesia jalani perbicaraan terlibat dengan IS

JAKARTA, 12 Okt – Tujuh lelaki Indonesia menjalani perbicaraan hari ini atas tuduhan berkaitan dengan kumpulan Islamic State (IS) dan boleh berdepan hukuman mati jika didapati bersalah melanggar undang-undang antipengganas.

Mereka kesemuanya didakwa terlibat dalam ‘konspirasi jahat’ dan dituduh atas pelbagai jenayah, bermula daripada mencuba tindakan membantu pengganasan sehingga menyokong IS, yang telah disenaraihitamkan di negara yang paling ramai penduduknya beragama Islam di dunia sejak Oktober tahun lepas.

Tiga tertuduh – Ahmad Junaedi alias Abu Salman, Ridwan Sungkar alias Abu Bilal dan Helmi Muhamad Alamudi alias Abu Royan – dipercayai pergi ke Syria untuk menyertai IS tahun lepas dan menerima latihan ketenteraan, menurut pendakwa.

“Bukan hanya defendan mengumumkan telah menyertai IS, mereka juga menyertai latihan ketenteraan di kem ISIS,” kata pendakwa Teddy Irawan memberitahu sebuah mahkamah Jakarta, membuka kes ke atas Sungkar. ISIS adalah nama alternatif bagi kumpulan IS.

“Defendan juga menyedari objektif latihan itu adalah bersiap sedia untuk melancarkan tindakan pengganasan,” tambahnya.

Seorang defendan, Tuah Febriwansyah alias Muhammad Fachry, telah dituduh mengoperasi laman web dengan kandungan pro-IS, memuat naik artikel yang bertajuk seperti: ‘Menjamin Kesetiaan kepada ISIS, kenapa tidak?”

Kesemua defendan telah dibicarakan secara berasingan.

Peguam bagi enam defendan, Asludin Hatjani, mengatakan dia berharap kliennya akan dapat terlepas daripada tuduhan berkaitan IS kerana kebanyakan jenayah mereka dipercayai telah berlaku sebelum Indonesia mengharamkan kumpulan tersebut. – AFP