70 lagi guru sertai kursus asas taekwando

70 lagi guru sertai kursus asas taekwando

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Dengan harapan untuk mencungkil bakat baru dari kalangan guru dan pelajar bagi mewakili sekolah, majlis sukan sekolah dan negara, seramai 70 orang guru sekolah rendah dan menengah di negara ini sedang giat mengikuti Kursus Pengenalan Asas Taekwando.

Kursus empat hari di Kompleks Sukan Menglait, Gadong bermula hari ini hingga 28 Mei itu dimudahcara oleh dua orang jurulatih dari Jabatan Belia dan Sukan termasuk Jurulatih Junior Kebangsaan, Dayang Nurul Hannah binti Abdullah Mateen Kim dan juga dua orang jurulatih dari Kementerian Pendidikan.

Kursusu anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Persatuan Taekwando Negara Brunei Darussalam itu bertujuan untuk memperkenalkan dan memperkembangkan sukan seni bela diri taekwando kepada guru-guru melalui guru pendidikan jasmani dan jurulatih sukan.

Ia juga diadakan untuk melahirkan generasi yang berwibawa, berdisiplin, bersemangat, berwawasan dan tahan lasak di samping menyemai sifat dan nilai murni serta luhur untuk membolehkan guru-guru menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran asas dan mengembangkannya untuk mencapai kecemerlangan.

Guru-guru ketika menyertai Kursus Pengenalan Asas Taekwando di Kompleks Sukan Menglait semalam.
Guru-guru ketika menyertai Kursus Pengenalan Asas Taekwando di Kompleks Sukan Menglait semalam.

Sukan yang berbentuk riadah itu secara langsung dapat memupuk amalan hidup sihat dan semangat berpasukan serta berdisiplin tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

Ia juga diadakan bagi melahirkan guru yang dapat merancang program riadah yang sihat, bermanfaat serta selamat sebagai salah satu aktiviti unit jasmani, JPKK bagi memperkembangkan sukan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA