70 murid pra berdaftar di SR Sg Tali

70 murid pra berdaftar di SR Sg Tali

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Pelbagai gelagat kanak-kanak dapat dilihat apabila memulakan alam persekolahan mereka dalam Darjah Pra di sekolah-sekolah rendah kerajaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, sudah tidak ramai lagi dalam kalangan mereka yang menangis kerana takut, berbeza dengan suasana dahulu, malahan ramai daripada mereka yang sudah menunjukkan minat untuk belajar membaca dan menulis pada hari pertama.

Sementara itu, hampir 70 orang murid mendaftar di Sekolah Rendah Sungai Tali Lumut turut memulakan persekolahan dan ditempatkan dalam tiga buah kelas iaitu Pra A, Pra B dan Pra C.

Penolong Guru Besar, Dayang Sarina binti Haji Yahya, memberitahu Media Permata, daripada jumlah itu seramai 32 orang ialah murid lelaki dan 37 orang murid perempuan yang kesemuanya berusia antara lima dan enam tahun.

Menurutnya, kemasukan murid pra di sekolah itu semakin meningkat, memandangkan terbinanya kawasan perumahan di Kampung Lumut, dan untuk membiasakan murid-murid dengan keadaan persekitaran sekolah, mereka telah mengadakan sesi orientasi selama tiga hari pada November lalu.

Berbagai gelagat murid-murid pra sekolah di hari pertama persekolahan mereka, kelmarin.
Berbagai gelagat murid-murid pra sekolah di hari pertama persekolahan mereka, kelmarin.
Dayang Aniza semasa melayani salah seorang murid pra sekolah, di Sekolah Rendah Sungai Tali pada hari pertama persekolahan mereka.
Dayang Aniza semasa melayani salah seorang murid pra sekolah, di Sekolah Rendah Sungai Tali pada hari pertama persekolahan mereka.

Sekolah tersebut mempunyai seramai empat orang guru pra, dan waktu persekolahan adalah pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, manakala itu, waktu rehat bagi murid-murid pra diawalkan 10 minit daripada murid rendah atas dan rendah bawah.

Salah seorang guru pra, Dayang Aniza binti Haji Taib memberitahu, bertolak daripada sesi orientasi, murid-murid pra sekolah kelihatan sudah biasa dengan persekitaran sekolah, termasuk kawan-kawan kelas mereka yang telah diperkenalkan semasa sesi berkenaan diadakan pada 23 hingga 25 November lalu.

Menurutnya, pada hari pertama persekolahan ibu bapa murid pra tidak digalakkan untuk menunggu di sekolah, kecuali melawat semasa waktu rehat untuk mengelakkan murid-murid mahu ikut pulang dengan ibu bapa mereka.

“Pada hari pertama persekolahan memang akan mencabar kepada guru, kerana kami perlu menenangkan keadaan kanak-kanak terlebih dahulu, dengan memberikan permainan di atas meja, dan secara perlahan akan mula mengajar mereka mengenal huruf dan menulis, lazimnya dalam masa seminggu murid-murid pra sekolah sudah mula dapat menumpukan perhatian untuk belajar,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA