70 pelajar sertai Kem ALAF BIBD

70 pelajar sertai Kem ALAF BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Lebih 70 pelajar Program ALAF yang dipilih dari sekolah rendah, menengah dan pra universiti, telah mengikuti Kem ALAF Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang berlangsung selama lima hari, baru-baru ini.

Menurut kenyataan BIBD, pelbagai aktiviti telah dikendalikan bagi para peserta termasuklah mengadakan sembahyang berjemaah, taklimat motivasi, taklimat celik kewangan oleh perancangan kewangan Islam BIBD, aktiviti membangunkan pasukan di samping lawatan-lawatan ke Jabatan Mufti Negara serta pelancaran semula Ibu Pejabat BIBD di ibu negara, baru-baru ini.

Kem itu bertindak sebagai platform bagi penuntut-penuntut untuk melihat peranan BIBD, dan bagi mempertimbangkan lagi kerjaya dalam industri kewangan di samping membangunkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi melalui aktiviti-aktiviti membangunkan pasukan.

Perkhemahan berkenaan telah diakhiri dengan majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Berakas itu ialah para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, warga pengurusan BIBD dan ahli-ahli Pasukan Petugas ALAF.

Antara aktiviti yang diadakan semasa kem tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan semasa kem tersebut.

pg05_151217_b

pg05_151217_c

Kem yang berlangsung dari 1 hingga 5 Disember lalu itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Pengajian Islam, KHEU dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan serta disokong oleh lebih daripada 20 orang sukarelawan.

Menurut kenyataan itu, Program ALAF yang dilancarkan pada Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, bertujuan untuk membangunkan hubungan rapat antara Kementerian Pendidikan serta KHEU.

Ini adalah untuk memastikan usaha berterusan dan kerjasama rapat di antara kesemua pihak, bagi menjayakan pelaksanaan dan bantuan terhadap Program ALAF.

Pada masa ini terdapat hampir 90 orang penuntut mengikuti program berkenaan dengan lebih ramai lagi akan dilibatkan pada masa akan datang.

Program ini memberikan peruntukan yuran sekolah dan tuisyen, peralatan dan kebajikan pendidikan serta menyediakan mentor dan kaunseling kepada penuntut-penuntut yang dipilih.

Kesemua usaha ini, menurut BIBD, bertujuan untuk memastikan komitmen penuntut terhadap perkembangan pendidikan mereka, dan menghalang mereka daripada diganggu oleh komitmen lain.

Program ALAF akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada penuntut-penuntut ini sehingga tamat pendidikan yang mereka perlukan.

Menerusi ALAF, BIBD melahirkan harapan untuk memberikan sokongannya terhadap visi 2035 yang pernah dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memperoleh peringkat pendidikan seratus peratus bagi semua orang, yang akan membantu mengurangkan kemiskinan.

Ini akan membawa Brunei Darussalam kepada masa depan yang lebih aman dan makmur, menjadikan rakyat Brunei berpendidikan, berkemahiran tinggi dan individu yang berjaya, sejajar dengan standard antarabangsa.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan untuk dana BIBD ALAF bolehlah membuat derma minimum $1.01 ke dalam akaun BIBD ALAF di 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi rangkaian-rangkaian BIBD seperti laman sesawang dalam talian, aplikasi mudah alih BIBD Mobile, ATM dan CDM BIBD serta kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh menetapkan arahan ke BIBD Standing Instruction bagi memastikan sumbangan setiap bulan ke dana ALAF.

Sebagai pilihan tambahan, pemegang-pemegang akaun BIBD juga boleh menggunakan BIBD Hadiah Point mereka bagi penukaran kepada wang tunai dalam memberikan sumbangan ke akaun dana ALAF.

Para pengguna Progresif Cellular juga boleh memberikan sokongan bagi Program ALAF menerusi SMS dalam bentuk $1, $5, $10, $15 dan $20 dengan menaip ‘ALAF’ dan memasukkan jumlah yang dipilih dan menghantarnya ke talian 38988.

ARTIKEL YANG SAMA