70 pelatih polis tamat latihan

70 pelatih polis tamat latihan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei, selaku benteng pertahanan utama negara, perlu kukuh dan berwibawa serta sentiasa dipercayai.

Kewibawaan itu perlu kerana pasukan keselamatan yang disayangi itu perlu mempunyai standard keupayaan dan disiplin yang lebih tinggi daripada organisasi lain, kerana amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah besar, luas dan penuh mencabar.

Serentak dengan itu, kerajaan juga mengharapkan anggota polis akan terus bertindak tegas dalam menegakkan keluhuran undang-undang tanpa bersikap pilih kasih, selain bersifat mesra rakyat dan berpemedulian kepada orang ramai.

Saranan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (PA) Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam, Jabatan Perdana Menteri, Haji Yahya bin Haji Idris ketika berucap pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Pelatih Lelaki Skuad 1/2014 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Polis, Gadong hari ini.

Hadir sama pada upacara itu ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, para pegawai kanan polis serta anggota keluarga pelatih yang diraikan.

Pelatih Terbaik Semua Jurusan, Muhd Izzat menerima sijil daripada tetamu kehormat.
Pelatih Terbaik Semua Jurusan, Muhd Izzat menerima sijil daripada tetamu kehormat.
Tetamu kehormat menyampaikan Sijil Kepujian kepada Pelatih 6224 Mohammad Fardhan.
Tetamu kehormat menyampaikan Sijil Kepujian kepada Pelatih 6224 Mohammad Fardhan.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan.

Seramai 70 pelatih polis yang menamatkan latihan diraikan pada upacara itu dan tiga pelatih menerima Sijil Kepujian, iaitu Pelatih 6249 Muhd Izzat bin Harun yang menerima Sijil Kepujian sebagai Terbaik Dalam Semua Jurusan, Pelatih 6224 Mohammad Fardhan bin Mohd Jasli yang menerima Sijil Kepujian sebagai Terbaik Dalam Undang-undang dan Pelatih 6239 Mohammad Zulhusni bin Murny yang menerima sijil kepujian Terbaik Dalam Kawad dan LatihanLuar.

Haji Yahya dalam ucapannya berkata, upacara tamat latihan itu merupakan titik permulaan bagi para pelatih Skuad 1/2014 menempuh cabaran dan dugaan tugas sebenar yang akan menguji keupayaan fizikal dan mental mereka.

“Harapan saya ialah jangan jadikan kerjaya sebagai anggota Pasukan Polis Diraja Brunei itu sekadar batu loncatan dan melaksanakan kerja dengan sambil lewa, sebaliknya amanah ini perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan sepenuh hati kerana ia merupakan amanah daripada Allah SWT, raja dan negara,” katanya.

Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Pelatih Lelaki Skuad 1/2014 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Polis, Gadong, kelmarin.
Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Pelatih Lelaki Skuad 1/2014 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Polis, Gadong, kelmarin.

pg04_150529_b

Ketika memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang juga Inspektor Jeneral Polis, ketika berangkat mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei beberapa bulan lalu, Haji Yahya menegaskan adalah mustahak bagi anggota polis mengekalkan prestasi mereka sambil perlu mengamalkan sikap tegas dan amanah.

Menurutnya, Baginda Sultan menitahkan bahawa anggota polis tidak boleh lemah, sikap dan pendirian mereka mesti kuat, tidak boleh dirayu atau dipujuk untuk mendapatkan simpati, dan tidak boleh curang terhadap tugasnya.

Upacara bermula sejurus ketibaan tetamu kehormat yang diikuti dengan Hormat Panglima dan tetamu kehormat memeriksa barisan, penyampaian sijil kepujian kepada ketiga-tiga pelatih cemerlang, Rekrut lelaki Skuad 1/2014 berjalan laju dalam masa perlahan dan cepat dan berakhir dengan tetamu kehormat meninggalkan perbarisan menuju ke Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis untuk Majlis Ramah Mesra.

ARTIKEL YANG SAMA