70 peratus ramal pencerobohan data

SINGAPURA, 13 Mac – Sebahagian besar profesional keselamatan maklumat di Asia menjangkakan ancaman pencerobohan besar merentasi negara dalam rangkaian perusahaan dan infrastruktur kritikal dalam satu atau dua tahun akan datang dan ramai yang tidak yakin terhadap kemampuan mereka untuk menghalang ancaman yang bakal melanda.

Kebimbangan ini dan lebih lagi ditekankan dalam laporan penyelidikan sulung Black Hat Asia, Cybersecurity Risk in Asia.

Laporan tersebut yang dikumpulkan daripada tinjauan terhadap hampir 100 pengunjung Black Hat Asia semasa dan sebelumnya memberi pemahaman tentang isu keselamatan maklumat yang kritikal berkaitan pertahanan dan kerentanan siber Asia.

Hasil tinjauan itu hampir sama dengan respons pengunjung Black Hat di Amerika Syarikat dan Eropah, menambah lagi kebimbangan terhadap keselamatan siber di peringkat global.

Black Hat ialah persidangan yang telah bertapak dan terkenal yang dihadiri oleh penyelidik keselamatan siber dan para profesional keselamatan maklumat. Dengan komuniti pakarnya, Black Hat mendapat pemahaman daripada para profesional di Asia yang terdiri daripada CEO, CSO, CIO dan anggota C-suite yang lain, pengarah teknologi maklumat dan keselamatan maklumat, pentadbir rangkaian dan kakitangan keselamatan.

Hampir 70% responden menjangkakan serangan yang memberi kesan kepada infrastruktur kritikal merentasi beberapa negara Asia akan berlaku dalam dua tahun akan datang.

Seperti tinjauan Black Hat yang dibuat di AS dan Eropah, para profesional keselamatan dalam tinjauan Black Hat Asia bimbang insiden terkini di rantau mereka menandakan pelanggaran keselamatan infrastruktur kritikal yang besar akan berlaku pada masa akan datang.

Serangan lalu di Timur Tengah dan Asia termasuklah kerosakan sistem kawalan industri, kecurian data untuk tujuan pemantauan dan penggodaman komputer yang digunakan untuk menyokong infrastruktur kritikal di negara-negara Asia. – Bernama