70 pesara sertai Kursus Ta’lim

70 pesara sertai Kursus Ta’lim

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Mac – Kira-kira 70 orang pesara kerajaan telah menyertai Kursus Ta’lim Bagi Daerah Belait Tahun 2016M/1437H yang berlangsung selama empat hari di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini.

Kursus anjuran Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Fiqh At-Thaharah dan Fiqh As-Shalah dengan setiap kursus berlangsung selama empat hari.

Ia akan dilaksanakan di keempat-empat daerah yang pada keseluruhannya akan berakhir pada awal bulan September nanti.

Daerah Belait menjadi daerah pertama di mana kursus berkenaan diadakan pada tahun ini dan akan disusuli di Daerah Tutong pada 14 hingga 17 Mac, Daerah Brunei dan Muara pada 18 hingga 21 April dan Daerah Temburong pada 16 Mei hingga 19 Mei 2016.

Manakala itu, bagi Kursus Ta’lim Fiqh As-Shalah ia akan bermula di Daerah Belait pada 1 hingga 4 Ogos, kemudian Daerah Tutong pada 15 hingga 18 Ogos, Daerah Brunei dan Muara pada 22 hingga 25 Ogos dan diakhiri di Daerah Temburong pada 5 hingga 8 September 2016.

Antara peserta Kursus Ta’lim bagi Daerah Belait yang diadakan selama empat hari di Dewan Kemasyarakat Kampung Pandan kelmarin.
Antara peserta Kursus Ta’lim bagi Daerah Belait yang diadakan selama empat hari di Dewan Kemasyarakat Kampung Pandan kelmarin.

Kursus yang dibukakan kepada lelaki dan wanita berusia 25 tahun ke atas dan bukan kakitangan kerajaan serta beragama Islam ini merupakan rancangan tahunan Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan agama khususnya perkara-perkara yang berhubung kait dengan bab Thaharah (bersuci) serta bagi menghalusi tatacara dalam wuduk, tayammum dan mandi.

Tenaga pengajar yang terlibat sepanjang kursus berkenaan ialah Tenaga Pengkursus dari Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, Haji Anwari bin Haji Rawee.

Antara isi kandungan kursus termasuklah pengertian Thaharah, bahagian air dan hukumnya, najis dan cara-cara menyucikannya, bersiwak, istinja, qada hajat, hadas, wuduk, mandi dan tayamum.

Pusat Dakwah Islamiah melahirkan harapan agar kursus yang diadakan akan dapat memberikan kefahaman, mengulang kaji pengetahuan yang ada dan meningkatkan lagi kefahaman yang sedia ada untuk diamalkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

ARTIKEL YANG SAMA