700 anak yatim Daerah Belait terima sumbangan

700 anak yatim Daerah Belait terima sumbangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Jun – Lebih 700 orang anak yatim yang berdaftar di Daerah Belait telah menerima sumbangan derma pada majlis penyampaian yang berlangsung di Pusat Insani di sini, kelmarin.

Sumbangan yang antara lain bertujuan bagi membantu persiapan anak-anak yatim menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri itu telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman selaku tetamu kehormat majlis.

Derma-derma tersebut adalah daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan berjumlah $38,000, Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait berjumlah $38,000 dan juga dari Bank Islam Brunei Darussalam berjumlah $27,160.

Di samping itu, turut menghulurkan sumbangan ialah Syarikat Suasana Mentari Engineering Services Sdn Bhd dan SMES Matco Sdn Bhd yang mendermakan sejumlah $23,280 yang telah disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Awang Yusof bin Haji Othman.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan sejumlah $6,433.87 daripada beberapa buah syarikat swasta, majlis perundingan mukim dan persatuan yang telah diserahkan kepada Haji Haris.

Haji Haris menyampaikan derma anak-anak yatim di Daerah Belait pada majlis yang diadakan di Pusat Insani, Seria.
Haji Haris menyampaikan derma anak-anak yatim di Daerah Belait pada majlis yang diadakan di Pusat Insani, Seria.

Antara yang menyumbang ialah Majlis Perundingan Mukim Liang sejumlah $1,495.87, Asia Enterprise sejumlah $1,000, Chiam Engineering Construction sejumlah $1,138, Zentech Sdn Bhd menderma sebanyak $1,500, Rotary Club Belait sebanyak $300, Korean Register (B) Sdn Bhd sejumlah $500 dan QET Sdn Bhd menderma $500.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, pengurus-pengurus syarikat swasta dan para penderma yang telah menderma kepada Tabung Amal dan Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA