700 penunggang motosikal besar berkampung di Brunei

700 penunggang motosikal besar berkampung di Brunei

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kira-kira 700 penunggang motosikal berkuasa tinggi berhimpun di negara ini hari ini bagi menghadiri Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) Ke-16.

Selain penunggang tempatan, festival yang keempat anjuran Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) itu turut disertai oleh penunggang motosikal dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta dari Indonesia.

Hadir selaku tetamu kehormat Majlis Perasmian BIIBBF Ke-16 ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Dayang Noraini binti Haji Tersad.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya telah merasmikan BIIBBF Ke-16 dengan paluan gong dan menyampaikan plak kepada mantan presiden persatuan-persatuan motosikal yang berdaftar di negara ini serta memotong kek ulang tahun penganjuran BIIBBF bersama-sama mantan-mantan presiden yang diraikan.

Yang Berhormat Pehin memukul gong sebagai merasmikan Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) Ke-16 malam tadi.
Yang Berhormat Pehin memukul gong sebagai merasmikan Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) Ke-16 malam tadi.
Yang Berhormat Pehin bersama mantan presiden persatuan-persatuan motosikal yang berdaftar di negara ini memotong kek ulang tahun penganjuran BIIBBF.
Yang Berhormat Pehin bersama mantan presiden persatuan-persatuan motosikal yang berdaftar di negara ini memotong kek ulang tahun penganjuran BIIBBF.

Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad dalam ucapan alu-aluannya selaku Pengerusi Festival berkata, penganjuran BIIBBF itu adalah kali keempat bagi Negara Brunei Darussalam bermula dari 2001, 2005, 2010 dan 2015.

Katanya, festival itu mampu mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unik untuk diterokai dan mendedahkan kepada dunia akan keindahan kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara yang diwarisi sejak turun-temurun.

Selain itu festival tersebut juga memberikan peluang kepada persatuan motosikal untuk menyumbang kepada negara melalui ideologi yang unik dan berbeza.

Festival itu bertujuan untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unik dan menarik untuk diterokai di samping memperkenalkan cara hidup orang Brunei yang aman damai dalam sebuah negara yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

Festival BIIBBF Ke-16 diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 3 Mei 2015 di Star Lodge Hotel, Jerudong dan antara aktiviti yang dijalankan di sepanjang festival itu ialah Pameran dari Majlis Keselamatan Jalan Raya, Pameran Produk Mukim dan Kampung, Green Heart of Borneo Ride, Kejohanan Golf Amal BIIBBF Ke-16, Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya serta gerai-gerai jualan daripada penaja.

ARTIKEL YANG SAMA