7,000 rokok putih dirampas di Sibu

7,000 rokok putih dirampas di Sibu

KUCHING, 14 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima merampas 7,000 bungkusan rokok putih bernilai RM17,500 di jeti perlepasan ekspres Terminal Penumpang Sibu, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Lima ACP N. Kalai Chelvan berkata hasil maklumat risikan, anggota PPM Sibu telah ke lokasi dan menemukan tujuh kotak berwarna kuning ketika menjalankan Op Selamat pada 8.15 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak tersebut, anggota menemui pelbagai jenis dan jenama rokok putih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kalai Chelvan berkata anggota PPM Sibu kemudiannya menunggu hampir 30 minit namun tiada orang yang datang menuntut kotak-kotak berkenaan.

“PPM Sibu kemudian bertindak merampas semua kotak tersebut dan membawa ke Markas Taktikal PPM Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kalai Chelvan berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lanang dan kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Sibu esok.

Sementara itu, di Tawau, Sabah, PPM Tawau merampas 6,100 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM31,000 dalam Operasi Paradise di kawasan perairan daerah ini, semalam.

Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata kegiatan menyeludup masuk rokok itu dihidu anggotanya yang sedang melakukan rondaan kira-kira 11.15 malam tadi dan terserempak dengan sebuah bot laju dari arah Sungai Nyamuk, Indonesia, ke muara Sungai Tawau. – Bernama