700,000 pendatang Eropah cetus ‘perubahan tektonik’

700,000 pendatang Eropah cetus ‘perubahan tektonik’

LJUBLJANA, 28 Okt (AFP) – Krisis penghijrahan paling teruk Eropah sejak Perang Dunia II berisiko mencetuskan ‘perubahan tektonik’, seorang pegawai tertinggi Eropah memberi amaran semalam, ketika angka menunjukkan lebih 700,000 pendatang baru telah tiba di pesisir Mediterranean benua itu tahun ini.

“Situasi itu akan semakin buruk lagi,” presiden Majlis Eropah Donald Tusk berkata, dengan memberi amaran tentang ‘gelombang baru ketibaan pelarian dari Aleppo dan rantau-rantau lain Syria yang dilanda pengeboman Rusia.’

“Saya tidak meragui bahawa cabaran ini berpotensi mengubah Kesatuan Eropah (EU) yang telah kita bina,” beliau memberitahu Parlime Eropah di Strasbourg.

“Dan apa yang lebih berbahaya, ia berpotensi mewujudkan perubahan tektonik dalam landskap politik Eropah. Dan ini bukan perubahan bagi yang lebih baik.”

Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker sementara itu membidas negara-negara anggota EU kerana menyediakan kurang separuh pengawal yang dijanjikan di agensi sempadan Frontex gabungan itu di tempat tumpuan penghijrah, iaitu Greece dan Itali.

Pemimpin EU,Juncker dan Merkel bergambar ramai selepas mesyuarat mengenai krisis pelarian Balkan dengan pemimpin-pemimpin dari tengah dan timur Eropah di Brussels. – AFP
Pemimpin EU,Juncker dan Merkel bergambar ramai selepas mesyuarat mengenai krisis pelarian Balkan dengan pemimpin-pemimpin dari tengah dan timur Eropah di Brussels. – AFP

“Negara-negara anggota mengorak langkah perlahan pada ketika mereka seharusnya berlari,” katanya.

Dari 775 pengawal sempadan yang diperlukan, negara-negara EU hanya menyediakan 326 orang dalam tempoh bulan lalu, kata Juncker, dengan menambah kata bahawa kebanyakan anggota-anggota gabungan ini juga setakat ini gagal untuk menunaikan janji sokongan kewangannya.

Kritikan pedas tiba selepas EU berikrar akan membantu mewujudkan 100,000 pusat penerimaan di Greece dan sepanjang laluan penghijrah menuju Balkans sebagai sebahagian dari rancangan tindakan 17 perkara yang difikirkan dengan negara-negara yang paling teruk terjejas akibat krisis.

Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Francois Hollande mengadakan rundingan di Paris semalam, dengan seorang pegawai Perancis berkata selepas itu bahawa kedua-dua pemimpin itu berkongsi ‘pendirian sama tentang apa yang seharusnya dilakukan dari segi politik dan di barisan hadapan.’

ARTIKEL YANG SAMA