71 murid alami keracunan makanan

ALOR SETAR, 12 Feb – Seramai 71 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong di Sungai Petani mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut sejak semalam selepas disyaki memakan nasi lemak berlaukkan ayam dalam program merentas desa sekolah itu Sabtu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada 10 pagi semalam melalui waris murid berkenaan.

Beliau berkata sehubungan itu, lawatan pihak pejabat kesihatan daerah itu ke sekolah berkenaan pada 10:30 pagi hari yang sama mendapati seramai 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaan lanjut dijalankan hari ini mendapati sejumlah 71 murid secara keseluruhannya telah mengalami gejala yang sama.

“Dua murid mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan seorang telah dibenarkan keluar wad dan seorang lagi masih berada di dalam wad dan stabil. Tiga murid mendapatkan rawatan di HSAH (Hospital Sultan Abdul Halim) dengan gejala yang sama dan dirawat sebagai pesakit luar manakala lain-lain pelajar selebihnya mendapatkan rawatan sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Norhizan berkata siasatan awal mendapati jenis makanan yang disyaki penyebab keracunan makanan itu adalah nasi lemak berlauk ayam yang ditempah daripada katerer luar bagi program merentas desa yang disertai kira-kira 480 murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam sekolah itu namun siasatan lanjut masih giat dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa atau waris membawa anak mereka bagi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala sedemikian serta mempunyai sejarah memakan makanan yang dijual semasa aktiviti merentas desa di sekolah sama pada tarikh kejadian.

“Pihak sekolah dinasihatkan agar menjual makanan melalui kantin sekolah kerana pengendali makanannya terlatih selain diminta memantau keadaan murid dan memaklumkan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya masih ada kes sedemikian,” katanya. – Bernama