71 terkorban dalam serangan IS

71 terkorban dalam serangan IS

BEIRUT, 1 Feb – Pengeboman yang diakui oleh kumpulan pejuang jihad IS telah mengorbankan 71 orang dan mencederakan berbelas-belas lagi semalam berhampiran perkuburan Syiah yang dihormati yang terletak berhampiran bandar Syria, Damsyik, menurut seorang pengawas.

Letupan itu yang berlaku ketika utusan Syria PBB giat berusaha untuk mengadakan rundingan damai baru di Geneva yang mana IS dikecualikan, telah mengakibatkan kawah di jalan raya, menterbalikkan dan meremukkan beberapa buah kereta dan sebuah bas dan memecahkan cermin tingkap.

Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, pengawas yang berpangkalan di Britain, berkata 71 orang terbunuh dalam dua letupan kereta berhampiran kawasan keramat Sayyida Zeinab termasuk lima orang kanak-kanak.

Letupan pertama merupakan pengeboman kereta berani mati, yang diikuti oleh pengeboman berani mati kedua yang meledakkan tali pinggang bahan letupannya apabila orang ramai berhimpun, menurut kumpulan pengawasan itu.

Media kerajaan Syria sebelumnya melaporkan lebih 50 orang terbunuh dan lebih 100 orang tercedera dalam apa ayang disifatkannya sebagai tiga letupan.

Pihak berkuasa dan orang ramai memeriksa kawasan letupan. – Reuters
Pihak berkuasa dan orang ramai memeriksa kawasan letupan. – Reuters

Agensi berita rasmi SANA berkata letupan pertama akibat bom kereta yang diledakkan di stesen bas berhampiran tempat keramat itu.

Seorang jurugambar AFP berkata letupan itu telah merosakkan permukaan bangunan berhampiran, dan kesemua enam tingkatnya telah terbakar.

Sayyida Zeinab, di selatan Damsyik, adalah tempat terletaknya makam cucu perempuan Nabi Muhammad dan terutamanya dihormati sebagai tempat ziarah umat Islam Syiah.

Ia terus menarik perhatian jemaah dari Syria dan di sebarang sana, terutamanya orang Syiah dari Iran, Lubnan dan Iraq, sepanjang konflik kejam Syria yang hampir lima tahun.

Kumpulan pelampau Islam Sunni seperti IS menganggap Syiah sebagai mempunyai fahaman menyeleweng dan kerap menyasarkan mereka dalam serangan. – AFP