72 cukup bermakna buat Adenan

72 cukup bermakna buat Adenan

KUCHING, 8 Mei (Bernama) – Rakyat Sarawak memberikan hadiah istimewa kepada Tan Sri Adenan Satem dengan mandat besar untuk menerajui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) buat penggal ke-11.

Kemenangan 72 kerusi untuk pemimpin berusia 72 tahun itu pada pilihan raya negeri ke-11 menunjukkan rakyat Bumi Kenyalang memberi kepercayaan kepada Adenan untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-11.

Pencapaian itu merupakan detik bersejarah bagi Adenan, selaku presiden PBB, selama 40 tahun berkecimpung dalam politik.

Adenan berkata kejayaan itu adalah di luar jangkaan dan tambahan pula mendapatkan semula kawasan majoriti pengundi Cina.

Beliau berkata BN turut mengurangkan undi majoriti di kerusi yang masih dikuasai pembangkang. “Ini menunjukkan sokongan telah beralih kembali kepada Barisan Nasional serta mendapat lebih banyak dalam undi popular,” katanya.

Kemenangan itu lebih manis apabila BN merampas tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Mengetuai BN buat pertama kali pada pilihan raya negeri, Adenan meminta pengundi memberi peluang lima tahun lagi sebelum beliau bersara dalam politik bagi merealisasikan visinya membangunkan negeri ini bersama kaum Cina dalam kabinet negeri itu.

Bercakap pada satu sidang media di sini, beliau berkata, sebelum hari pengundian, beliau menjangkakan BN akan menang 65 atau 66 kerusi, tetapi menyaksikan BN kembali berkuasa dengan kemenangan besar 72 kerusi daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebaik BN diisytihar menang PRN-11 malam tadi, Adenan yang berusia 72 tahun mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN negeri, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, selain kehilangan sokongan di kawasan bandar, pembangkang juga gagal menembusi kawasan luar bandar.

“Impian Sarawak (slogan DAP untuk mendapatkan sokongan) luar bandar adalah suatu kegagalan kerana ia suatu muslihat semata-mata,” katanya.

Beliau berkata pengaruh yang dibawa Adenan telah mencipta vibe positif untuk menarik pengundi ke arah BN dalam pilihan raya ini.

“Rakyat telah melihat ketua menteri membawa banyak perubahan dan manfaat untuk mereka,” katanya lagi.