72 didakwa berkaitan penghijrah

72 didakwa berkaitan penghijrah

BANGKOK, 24 Julai – Thailand berkata pada hari ini, ia akan mendakwa 72 orang termasuk seorang pegawai kanan tentera berhubung penyeludupan orang selepas masalah penghijrah Myanmar dan Bangladesh yang terkandas di laut mencetuskan bantahan antarabangsa mengenai perniagaan teruk itu.

Tindakan itu diambil selepas banyak rangkaian penyeludupan orang terbongkar pada Mei apabila beribu-ribu penghijrah ditinggalkan di perairan terbuka dan kem hutan oleh penyeludup ekoran tindakan keras Thai, satu krisis yang akhirnya memaksa respons besar-besaran dari Asia Tenggara.

Thailand telah lama dituduh tidak menghiraukan keterlibatan pegawai dalam perniagaan bernilai berjuta-juta dolar itu yang sehingga bulan-bulan ini berkembang pesat menerusi wilayahnya di selatan dan Malaysia, destinasi penduduk minoriti Islam Rohingya.

Seorang jurucakap untuk Pejabat Peguam Negara (OAG) Thailand berkata pada hari ini ia telah mengeluarkan satu arahan untuk mendakwa 72 orang yang didakwa dengan 16 tuduhan kebanyakannya disebabkan penyeludu-pan orang, termasuk berpuluh pegawai kerajaan pada semua peringkat.

“Kami tidak akan membiarkan orang berpengaruh bangkit mengatasi keadilan,” beritahu Wanchai Roujanavong kepada wartawan pada satu persidangan akhbar di Bangkok.

Wanchai Roujanavong (tengah), jurucakap bagi Peguam Negara Thailand, bercakap semasa sidang akhbar di Bangkok pada 24 Julai. – AFP
Wanchai Roujanavong (tengah), jurucakap bagi Peguam Negara Thailand, bercakap semasa sidang akhbar di Bangkok pada 24 Julai. – AFP

Dakwaan termasuk penyeludupan orang, penglibatan dalam jenayah antarabangsa, mengambil dan membawa penghijrah haram dan amalan salah.

“OAG telah memberikan keutamaan kepada isu berkenaan – memandangkan ia adalah kumpulan besar orang yang membabitkan sistem antarabangsa. Ia telah menyebabkan banyak kerosakan kepada negara tatkala mayat ditemui,” kata Wanchai, merujuk kepada penemuan berpuluh kubur penghijrah di kem penyeludup yang ditinggalkan di sempadan dengan Malaysia yang mencetuskan tindakan keras penyeludupan.

Sebuah mahkamah di selatan wilayah Songkhla, di mana kubur ditemui, akan memproses pendakwaan secara formal pada lewat hari ini.

Di antara tersangka adalah Leftenan Jeneral Manas Kongpan, didakwa menjadi seorang ketua penyeludupan dalam perniagaan menguntungkan itu. – AFP