74 peratus pelatih PPB berjaya

74 peratus pelatih PPB berjaya

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Seramai 52 pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah berjaya menamatkan Kursus ‘Scaffolding’ pengambilan ke-4 dan diraikan di majlis penyampaian sijil yang berlangsung di PPB, Jalan Utama Tanah Jambu.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Dalam ucapannya di majlis itu, Yang Berhormat Pehin berkata setakat ini, termasuk pengambilan ke-4, seramai 105 orang belia yang mengikuti Kursus ‘Scaffolding’ berkenaan telah mendapat pekerjaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2013.

Menurut beliau, melihat akan minat daripada golongan belia dalam kursus ini, PPB akan terus menganjurkan Kursus ‘Scaffolding’ ke-5 melalui kaedah Perkongsian Awam Swasta (Public, Private Partnership – PPP) yang mana seramai 42 belia akan dilatih bagi mengikuti kursus yang akan bermula pada bulan Ogos nanti.

“Untuk sesi kelima, perlaksanaan Kursus ‘Scaffolding’ ini nanti, saya telah dimaklumkan bahawa sebuah syarikat pelaksana ‘Scaffolding’ telah bersedia untuk mengambil dan menawarkan pekerjaan secara terus kepada seramai 42 orang belia yang akan mengikuti kursus setelah tamat pada penghujung bulan Disember nanti”.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Awang Haji Hazair menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang belia yang tamat Kursus ‘Scaffolding.’
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Awang Haji Hazair menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang belia yang tamat Kursus ‘Scaffolding.’

Yang Berhormat Pehin menambah, sejak tahun 2010 hingga 2015, seramai 1,067 orang telah dilatih dan menamatkan kursus di PPB, yang mana seramai 318 orang adalah terdiri daripada mereka yang menerima Bantuan Kebajikan Bulanan dan Penerima Asnaf Zakat (PROPAZ) Majlis Ugama Islam dan Pusat Pemulihan Al-Islah melalui program Perkasa Komuniti, PROPAZ dan As-Syifa.

Daripada jumlah yang tamat menjalani latihan di PPB, sebanyak 74 peratus telah berjaya sama ada mendapatkan pekerjaan, berniaga dan menyambung pelajaran, dan 24 peratus lagi masih mencari pekerjaan.

“Mulai bulan Ogos 2015 ini, Pusat Pembangunan Belia akan melaksanakan dua lagi kursus baru iaitu ‘Cable Jointing’ dan Kursus ‘Fiber To The Home’1 atau FTTH.

Dalam waktu yang sama Pusat Pembangunan Belia juga akan menambah kursus kemahiran di bidang membuat roti sebagai tambahan kepada kursus komputer yang sudah berjalan di cawangan satelit PPB di Daerah Belait,” katanya.

pg03_150624_d

Menurut kenyataan PPB, daripada jumlah pengambilan ke-4 ini, seramai 14 daripadanya telah diambil bekerja oleh syarikat SHIKA Sdn Bhd.

Majlis penyampaian sijil berkenaan, bertujuan untuk memberikan keyakinan serta galakan dan dorongan kepada para pelatih yang telah menamatkan kursus dan sebagai penghargaan kepada para pelatih yang telah menamatkan kursus.

Selain itu, ia juga adalah untuk memberikan dorongan kepada pelatih-pelatih yang akan datang agar berusaha dengan keupayaan dan kemampuan yang ada untuk mencapai kejayaan.

Sepanjang mengikuti kursus di PPB, para belia mengikuti kursus intensif selama lima bulan iaitu dua bulan mempelajari teori dan praktikal, manakala itu, tiga bulan lagi adalah program penempatan kerja yang telah dilaksanakan oleh Syarikat Blue Oceanic Management Services yang telah mendatangkan tenaga pengajar profesional daripada Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Program penempatan kerja ini bertujuan untuk memberikan latihan praktikal tambahan dan pengalaman tentang kehendak industri dan polisi keselamatan serta penerapan untuk menjadi belia mahir yang komited, bertanggungjawab dan beretika.

ARTIKEL YANG SAMA