75 jiwa terkorban dalam letupan

75 jiwa terkorban dalam letupan

BAGHDAD, 3 Julai – Pengeboman kereta nekad yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS) telah memusnahkan sebuah daerah beli-belah Baghdad yang sibuk hari ini, meragut kira-kira 75 jiwa dalam serangan tunggal maut tahun ini di bandar Iraq.

Letupan itu melanda daerah Karrada awal pagi hari ini ketika kawasan itu dipenuhi oleh pembeli-belah menjelang cuti minggu ini bagi menandakan hari terakhir bulan puasa Ramadan.

Ia muncul seminggu selepas pasukan keselamatan Iraq menawan semula Fallujah dari IS, meninggalkan Mosul sebagai satu-satunya bandar Iraq yang masih dalam kawalan kumpulan jihad itu.

Pengeboman itu juga mencederakan lebih 130 orang, kata para pegawai perubatan dan keselamatan.

Perdana Menteri Haider al-Abadi mengunjungi tapak serangan itu dan berikrar ‘menghukum’ dalangnya, menurut pejabatnya.

Letupan besar itu mengakibatkan bangunan-bangunan di sekitarnya terbakar, dan anggota bomba masih lagi berusaha memadamkannya kira-kira 12 jam kemudian.

Warga Iraq, termasuk anggota bomba, berkumpul di tapak pengeboman kereta nekad yang didakwa dil-akukan oleh kumpulan IS di daerah Karrada tengah Baghdad. - AFP
Warga Iraq, termasuk anggota bomba, berkumpul di tapak pengeboman kereta nekad yang didakwa dil-akukan oleh kumpulan IS di daerah Karrada tengah Baghdad. – AFP

Orang ramai membantu membawa keluar mayat dua mangsa dari salah satu bangunan yang terbakar dan mencari mangsa di celah-celah runtuhan ketika anggota bomba bekerja di tapak tersebut.

Hussein Ali, bekas tentera yang berusia 24 tahun, berkata enam pekerja di kedai keluarganya terbunuh dalam serangan itu, mayat mereka rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti.

“Saya akan kembali ke medan perang. Sekurang-kurangnya di sana, saya tahu musuh saya dan akan memerangi mereka. Namun di sini, saya tidak tahu dengan siapa saya akan bertempur,” kata Ali kepada AFP.

Kumpulan IS mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom berani mati itu, mengatakan ia dilakukan oleh warga Iraq sebagai sebahagian daripada ‘operasi keselamatan berterusan’ kumpulan tersebut.

Kumpulan jihad itu berkata letupan itu menyasarkan anggota majoriti Islam Syiah Iraq, yang pelampau Sunah anggap berfahaman menyeleweng dan sering menyerang Baghdad dan sekitarnya.

Para pegawai berkata letupan lain di kawasan Shaab utara Baghdad membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan empat yang lain hari ini, namun punca letupan masih dipertikaikan. – AFP